Mahkamah benar permohonan Anwar dapatkan salinan perbualan WhatsApp

Bernama
Januari 11, 2023 19:42 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi hari ini untuk mendapatkan salinan perbualan WhatsApp antara beliau dan bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther dari 2018 hingga 2019.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi hari ini untuk mendapatkan salinan perbualan WhatsApp antara beliau dan bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther dari 2018 hingga 2019.
Pesuruhjaya Kehakiman (JC), Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee membenarkan permohonan Anwar semasa prosiding dalam talian yang turut dihadiri peguam Anwar, Navpreet Singh manakala Muhammed Yusoff diwakili Mahajoth Singh.
"Selepas meneliti penghujahan dan kandungan pernyataan tuntutan, saya mendapati permohonan itu mempunyai merit atau dokumen yang diperlukan adalah berkaitan dan perlu bagi penentuan kes itu," kata JC Lee.
Justeru, beliau memerintahkan Muhammed Yusoff membayar RM1,000 sebagai kos kepada Anwar dan menetapkan 13 April bagi pengurusan kes.
Dalam permohonan penzahiran dokumen, Ahli Parlimen Tambun itu antara lain sedang mendapatkan salinan semua perbualan WhatsApp antara mereka berdua dari Sept 2018 hingga Jun 2019.
Berdasarkan pemfailan mahkamah, Anwar menyatakan dokumen yang diminta adalah penting untuk mengesahkan 'kejadian fakta' yang diakui oleh Muhammed Yusoff dalam pernyataan tuntutannya.
Anwar berkata, adalah perlu bagi beliau untuk meneliti dokumen tersebut kerana ia merupakan bukti penting kepada isu utama yang dipertikaikan dan akan membantu pembatalan saman sivil itu secara adil.
Muhammed Yusoff selaku plaintif memfailkan saman terhadap Anwar pada 14 Julai 2021 berhubung dakwaan serangan seksual terhadapnya pada 2018.
Beliau menuntut ganti rugi khas, am, teruk dan teladan serta faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Anwar kemudian mengemukakan saman balas terhadap Muhammed Yusoff. - BERNAMA
#Anwar Ibrahim #muhammed yusoff rawther #bekas pembantu penyelidik #perbualan WhatsApp
;