Mahkamah benar Na'imah dapat sementara pasport untuk ke China

Bernama
Ogos 23, 2024 14:30 MYT
Na'imah memohon untuk mendapatkan pasport bermula 28 Ogos ini hingga 9 Sept dan ia tidak dibantah oleh pihak pendakwaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan isteri bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid bagi mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara untuk ke China.
Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan itu selepas peguam Nizamuddin Hamid yang mewakili Na'imah memaklumkan anak guamnya memohon untuk mendapatkan pasport bermula 28 Ogos ini hingga 9 Sept dan ia tidak dibantah oleh pihak pendakwaan.
"Mahkamah membenarkan permohonan ini dan pemohon (Na'imah) perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dalam masa 48 jam dari tarikh 9 Sept," kata Azura semasa sebutan kes itu.
Terdahulu, Nizamuddin memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya perlu ke luar negara atas tujuan kerja.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry mengesahkan perkara itu, namun memohon supaya Na'imah menyerahkan pasport kepada mahkamah dalam tempoh masa 48 jam selepas kembali ke Malaysia.
Sebelum ini, Na'imah telah diberi kebenaran mendapatkan sementara pasportnya untuk ke Switzerland, Singapura, London dan Venice.
Pada 23 Jan, Na'imah, 67, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham, serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Pada 29 Jan, suami beliau yang berusia 86 tahun turut didakwa atas pertuduhan sama, membabitkan satu akaun bank, tujuh kenderaan mewah, 38 syarikat dan 25 hartanah.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
#Daim Zainuddin #kes mahkamah #isteri daim #pasport #China