Mahkamah batal saman RM14 bilion Puncak Niaga
Bernama
Februari 22, 2018 20:07 MYT
Februari 22, 2018 20:07 MYT
Bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersama dua defendan hari ini berjaya dalam permohonan mereka untuk membatalkan saman hampir RM14 bilion yang difailkan Puncak Niaga Holdings Bhd (Puncak Niaga) berhubung penstrukturan semula industri air di Selangor.
Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Akhtar Tahir membenarkan permohonan Abdul Khalid, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Kerajaan Selangor selepas mendapati pernyataan tuntutan plaintif (Puncak Niaga) adalah cacat.
Hakim Akhtar memerintahkan Puncak Niaga membayar kos RM25,000 kepada setiap defendan.
Mahkamah turut menetapkan 13 Mac ini untuk keputusan berhubung tuntutan balas Mohamed Azmin terhadap Puncak Niaga.
Peguam Lau Mark Chi Ming hadir bagi pihak plaintif sementara Abdul Khalid diwakili peguam New Sin Yew, Mohamed Azmin diwakili peguam Latheefa Koya dan kerajaan negeri diwakili Penasihat Undang-undangnya Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman.
Pada November, Disember dan Januari lepas, Abdul Khalid, Mohamed Azmin dan Kerajaan Selangor masing-masing memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Puncak Niaga berkenaan.
Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 27 Okt tahun lepas, Puncak Niaga antara lain mendakwa Abdul Khalid dan Mohamed Azmin menyalahgunakan kuasa mereka sebagai menteri besar dengan mengancam untuk menyebab atau memohon atau cubaan untuk menyebabkan Kerajaan Persekutuan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 bagi memaksa pengambilalihan industri perkhidmatan air di Selangor.
Plaintif antara lain mendakwa penangguhan rundingan berkenaan usaha penyusunan semula industri air di Selangor selama lima tahun menjadi manfaat politik peribadi Abdul Khalid dan Mohamed Azmin, selain mendakwa rundingan tersebut tidak dilakukan atas dasar "willing buyer-willing seller" (urus niaga suka sama suka) sehingga menyebabkan plaintif mengalami kerugian serta kerosakan.
Sehubungan itu, Puncak Niaga menuntut ganti rugi, faedah ke atas ganti rugi dan kos berhubung kehilangan peluang perniagaan di dalam dan luar negara, berjumlah RM13.5 bilion.
Pada masa sama, plaintif juga menuntut ganti rugi berhubung perbezaan antara nilai PNSB Water Sdn Bhd (dahulu dikenali sebagai Puncak Niaga (M) Sdn Bhd) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) pada kadar RM2.08 bilion hingga RM2.35 bilion.
Selain itu, plaintif menuntut pertimbangan pembelian sebenar berjumlah RM1.56 bilion di bawah Perjanjian Pembelian Saham bertarikh 11 Nov 2014 antara Puncak Niaga dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd. -- Bernama