Mahkamah batal saman difailkan oleh Sangeet Kaur terhadap bekas Ketua Hakim Negara

Bernama
Oktober 22, 2019 04:48 MYT
Dalam saman pemula, Sangeet (gambar) memohon, antara lain, suatu deklarasi bahawa Ketua Hakim Negara telah gagal melaksanakan tugasnya sebagai ketua badan kehakiman untuk mempertahankan integriti dan kredibiliti badan itu. - BERNAMA
Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa membatalkan saman pemula yang difailkan oleh anak perempuan mendiang Karpal Singh terhadap seorang bekas Ketua Hakim Negara berhubung dakwaan campur tangan badan kehakiman dalam keputusan kes hasutan yang dihadapi (Karpal) dan kes penukaran agama tiga kanak-kanak beragama Hindu.
Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril membuat keputusan itu setelah mendapati saman yang difailkan oleh peguam Sangeet Kaur Deo sebagai pemohon adalah bersifat akademik selepas Mahkamah Persekutuan membebaskan Karpal Singh.
"Pemohon telah menyatakan hasratnya untuk menarik balik permohonan itu tertakluk kepada keputusan mahkamah terhadap permohonan responden (bekas Ketua Hakim Negara) untuk memadamkan perenggan tertentu yang terkandung dalam afidavit yang difailkan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer.
"Mahkamah ini berpendapat bahawa saman itu dianggap akademik kerana pemohon tidak lagi mempunyai isu yang telah luput atau kepentingan yang dia memohon bantuan mahkamah ini untuk remedi," kata hakim.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Ketua Hakim Negara ketika itu, Tan Sri Richard Malanjum untuk memadamkan perenggan-perenggan tertentu yang terkandung dalam afidavit yang difailkan oleh Hamid Sultan untuk menyokong saman pemula.
"Setelah meneliti undang-undang tentang isu affidavit yang remeh dan tidak relevan serta penghujahan oleh responden, mahkamah ini mempunyai duti untuk mempertimbangkan dan memutuskan mengenai isu-isu yang dibangkitkan untuk memastikan peruntukan undang-undang, baik prosedur mahupun substantif dipatuhi.
"Pada fikiran saya amalan memfailkan afidavit yang remeh dan tidak relevan harus tidak digalakkan jika tidakpun dilarang. Sebaliknya, apabila pemohon memohon untuk menarik balik saman, pemadaman perenggan tertentu dalam afidavit seperti diminta oleh responden tidak akan menjejaskan kepentingan pemohon sama sekali," katanya.
Pada 29 Mac, Mahkamah Persekutuan membebaskan mendiang Karpal Singh daripada pertuduhan hasutan kerana didakwa mempersoalkan tindakan almarhum Sultan Perak berkaitan krisis negeri Perak selepas memutuskan terdapat salah arahan serius oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan kerana kedua-dua mahkamah gagal untuk menilai pembelaan bekas pengerusi DAP kebangsaan (Karpal Singh) itu.
Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan denda RM1,800. Balu mendiang, Gurmit Kaur, 70, bertindak sebagai perayu gantian dalam rayuan tersebut.
Pada 14 Feb, Hamid Sultan memfailkan afidavit mengandungi 63 halaman untuk menyokong saman pemula yang difailkan oleh Sangeet terhadap Ketua Hakim Negara pada masa itu.
Dalam saman pemula, Sangeet memohon, antara lain, suatu deklarasi bahawa Ketua Hakim Negara telah gagal melaksanakan tugasnya sebagai ketua badan kehakiman untuk mempertahankan integriti dan kredibiliti badan itu apabila gagal melengkapkan siasatan berkaitan dua dakwaan campur tangan badan kehakiman berhubung keputusan rayuan mendiang ayahnya Karpal Singh dalam kes hasutan dan dalam kes penukaran agama melibatkan anak guru tadika M. Indira Gandhi.
-- BERNAMA
#afidavit yang remeh #Bekas Ketua Hakim Negara #bersifat akademik #campur tangan badan kehakiman #Hamid Sultan Abu Backer #hasutan #Hindu #Kanak-kanak #Karpal Singh #mahkamah #remedi #saman #saman pemula #Sultan Perak #tukar agama #undang-undang
;