Mahkamah Anak Negeri akan dinaik taraf, dibangunkan - Shafie Apdal
Syah Hairizal Kamalul Arifin
September 5, 2020 17:58 MYT
September 5, 2020 17:58 MYT
Mahkamah Anak Negeri akan dinaik taraf dan dibangunkan di setiap daerah bagi memudahkan urusan rakyat berbilang etnik di Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata inisiatif pembangunan tersebut telah dimasukkan dalam pelan Rancangan Malaysia Ke-12 dan akan terus dilaksanakan pengwujudannya selepas ini.
"Kita telah merancang dalam Rancangan Malaysia Ke-12 di mana setiap daerah yang ada kita akan bangunkan dengan mahkamah-mahkamah anak negeri dan ini InshaAllah kita akan tunaikan.
"Usaha ini adalah untuk memudahkan perkhidmatan Mahkamah Anak Negeri dan masyarakat di pedalaman kerana tidak perlu lagi pergi ke Kota Kinabalu untuk menyelesaikan urusan perundangan anak negeri," katanya yang ditemui selepas sesi Perjumpaan Bersama Mahkamah Anak Negeri Peringkat Pedalaman Sabah di Keningau pada Sabtu.
Menurut Shafie sesi perjumpaan tersebut adalah platform terbaik bagi pemimpin dan masyarakat bertukar-tukar pandangan dan mendengar permasalahan berbangkit.
"Perjumpaan dengan penduduk kampung ini adalah bagi mengetahui apa sebenarnya rintihan mereka.
"Dalam soal pembangunan negeri kita tidak hanya membina reka bentuk binaan bangunan sebaliknya kita ingin megorak langkah ke hadapan dengan mengangkat adat resam agar perkara tersebut dihormati masyarakat," katanya.
#adat resam
#Ketua Menteri Sabah
#Mahkamah Anak Negeri
#Pedalaman Sabah
#Permasalahan pelbagai etnik
#Sabah
#Shafie Apdal