Mahdzir: Sukar untuk kerajaan beri jaminan bekalan air tidak terganggu sepanjang El Nino

T K Letchumy Tamboo
Jun 24, 2014 13:54 MYT
Kalau El Nino datang selama enam bulan, adakah air boleh bertahan?
Adalah agak sukar untuk kerajaan memberi jaminan bahawa sumber air seperti dari empangan dan tangki simpanan akan terjamin sepanjang tempoh fenomena El Nino, terutamanya jika ia berlarutan sehingga setengah tahun.
Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata oleh kerana itu kerjasama dari semua pihak adalah amat penting untuk menghadapi musim panas yang akan datang.
“Kalau El Nino datang selama enam bulan, adakah air boleh bertahan?
“Contoh di Lembah Klang, Empangan Sungai Selangor hari ini hanya ada 43 peratus air sahaja. Jika El Nino datang enam bulan, boleh bayangkan bagaimana kita akan hadapinya?
“Jadi saya menyeru para pengguna untuk sentiasa menjimatkan air,” katanya semasa sesi menjawab soalan di Dewan Negara hari ini.
Walau bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa berusaha untuk mengambil langkah-langkah menghadapi fenomena tersebut.
Beliau berkata antara langkah-langkah yang diambil adalah menubuhkan sebuah jawatankuasa peringkat kebangsaan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 15 Mei.
“Jawatankuasa ini akan mengadakan mesyuarat pertama pada 30 Jun.
“Penubuhan jawatankuasa ini membolehkan pemantauan dan langkah persediaan dibuat
secara menyeluruh.
“Melalui penubuhan jawatankuasa ini juga, semua langkah persediaan bagi menghadapi impak El Nino dapat diselaraskan di setiap negeri.
"Sebagai contoh, kita akan dapat rekod jumlah air di setiap empangan. Kita juga boleh tahu jumlah bekalan air mentah untuk kegunaan sesuatu tempoh dan adakah ia boleh bertahan sepanjang fenomena itu,” katanya semasa menjawab soalan tambahan daripada Senator Dr Ariffin S.M Omar yang ingin tahu bagaimana kerajaan akan menjamin bekalan air yang sedia ada terjaga.
Sementara itu, Mahdzir menerangkan cuaca panas yang dialami pada ketika ini bukannya kesan El Nino tetapi angin monsun Barat Daya.
Sebelum ini, Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) meramalkan bahawa fenomena El Nino berkemungkinan berlaku pertengahan tahun ini yang boleh berlanjutan antara enam hingga 18 bulan.
Kesan yang paling teruk daripada El Nino dilihat dalam tempoh 1997-1998, di mana sebahagian besar negara ini mengalami cuaca kering dan panas, serta keadaan berjerebu.
Bagaimanapun, kejadian terakhir fenomena itu adalah pada 2009-2010 yang tidak meninggalkan kesan yang ketara.
#El Nino #jerebu #kemarau #Mahdzir #Panas
;