MAHB yakin kekal kos KLIA 2 pada RM4 bilion
Astro Awani
Februari 21, 2013 14:52 MYT
Februari 21, 2013 14:52 MYT
Malaysia Airports Holdings (MAHB) yakin dapat mengekalkan kos pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA) 2 pada Rm4 bilion biarpun berdepan cabaran kos.
Ketua pegawai kewangannya, Faizal Mansor berkata cabaran itu termasuk kenaikan harga bahan mentah disebabkan pembinaan projek My Rapid Transit.
Faizal ditemui selepas taklimat media prestasi kewangan MAHB di Sepang pada Rabu.
Tambahnya kos Rm4 bilion itu adalah yang yang termurah bagi pembinaan sebuah lapangan terbang di mana sahaja di dunia.
Ini kerana ia termasuk landasan sepanjang 400 meter, menara kawalan serta peralatan kawalan trafik udara yang baru.
Kos juga termasuk pembangunan infrastruktur di sekitar KLIA 2 yang mempunyai kapasiti penumpang 45 juta.
Isu-isu berkaitan kenaikan kos bahan menjadikan projek itu 30 hari terlewat daripada jadual.
KLIA 2 dijangka memulakan operasi pada 28 Jun tahun ini dan akan menyumbang secara positif kepada perolehan MAHB, dirangsang terutamanya oleh pergerakan penumpang yang lebih tinggi dilengkapi oleh peningkatan dalam operasi runcit dan komersial.
Mengenai masa depan, pengendali lapangan terbang itu menjangka tahun ini akan menjadi tahun yang mencabar tetapi perniagaan dan keyakinan pengguna diunjur meningkat dengan prospek ekonomi global yang bertambah baik.