MAHB sentiasa pastikan keselamatan penumpang di klia2

Bernama
Februari 24, 2017 22:32 MYT
BADLISHAM: MAHB komited untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan pengguna lapangan terbang. - Gambar fail
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) komited untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dan pihak berkuasa lain berhubungan sebarang tindakan yang diperlukan dalam memastikan keselamatan pengguna lapangan terbang setelah berlaku kes pembunuhan seorang warga Korea Utara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2).
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali berkata pihaknya telah berhubung dengan pihak berkaitan seperti Kementerian Kesihatan untuk menyelaras sebarang langkah yang diperlukan.
"Keutamaan kita ialah sentiasa memastikan keselamatan penumpang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mendedahkan hari ini bahan yang dipercayai digunakan untuk membunuh Kim Jong-nam pada 13 Feb lalu dikenal pasti sebagai 'agen saraf VX' yang disenarai sebagai senjata kimia.
Jong-nam berada di klia2 pada hari tersebut untuk menaiki pesawat ke Macau apabila dua wanita menyapu mukanya dengan tangan mereka yang mengandungi cecair beracun.
Jong-nam yang menggunakan pasport atas nama Kim Chol meminta pertolongan di kaunter khidmat pelanggan dan dia seterusnya dikejarkan ke Hospital Putrajaya, tetapi meninggal dalam perjalanan ke hospital.
MAHB berkata mereka juga telah memeriksa Klinik Menara di terminal klia2 dan mendapati tidak terdapat anomali kes perubatan yang dilapor di klinik itu sejak tarikh kejadian tersebut.
Ia berkata sebagai langkah berjaga-jaga, mereka telah menghantar staf kaunter yang mengendali mangsa untuk pemeriksan perubatan dan wanita berkenaan didapati dalam keadaan baik.
Malaysia Airports berkata Kementerian Kesihatan telah menasihatkan orang awam agar tidak bimbang kerana jika berlaku pendedahan bahan itu, mereka yang berkenaan akan segera menunjukkan tanda dan simptom dalan tempoh 18 jam selepas pendedahan.
Ia berkata proses mencuci turut dilakukan setiap hari termasuk pada bahagian lantai terminal klia2 sebanyak enam kali sehari.
"Selain itu, semua tandas turut dicuci setiap malam. Kita juga dimaklumkan petugas mencuci berada dalam keadaan baik," katanya.
Badlisham berkata MAHB turut memaklumkan kepada pihak berkepentingan utamanya termasuk syarikat penerbangan mengenai sebarang perkembangan kes berkenaan.
-- BERNAMA
#Datuk Badlisham Ghazali #KLIA2 #MAHB
;