MAHB sedia 30 buah bas dan van jika aerotrain di KLIA masih tidak dapat beroperasi

Bernama
Mei 27, 2016 22:25 MYT
Persediaan itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya perkhidmatan itu mengalami gangguan kerosakan sekali lagi. - Foto Astro AWANI
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyediakan 30 bas dan van sebagai persediaan sekiranya perkhidmatan aerotrain masih tidak dapat beroperasi seperti biasa, kata Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali.
Katanya, pengendali lapangan terbang itu juga akan merancang untuk menambah lima buah lagi bas sewa untuk kelancaran perjalanan operasi esok.
Katanya kedua-dua aerotrain yang membawa penumpang dari bangunan utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ke bangunan satelit dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada 9.30 malam ini.
BACA: Perkhidmatan aerotrain di KLIA kini mula beroperasi
Jelasnya persediaan itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya perkhidmatan itu mengalami gangguan kerosakan sekali lagi.
"Ini sebagai langkah persediaan dan kita juga menjangkakan jumlah penumpang di KLIA akan meningkatkan esok memandangkan musim cuti sekolah yang telah bermula," katanya.
"Bagi pihak MAHB, kami memohon maaf di atas kesulitan yang dialami oleh para penumpang dan kami akan memastikan para penumpang akan dimaklumkan mengenai status perkhidmatan aerotrain setiap tiga minit," katanya ketika menghubungi Bernama di sini malam ini.
Katanya masalah yang dialami oleh aerotrain yang pertama membabitkan kerosakan yang besar, manakala aerotrain yang kedua telah "terlebih beban" dan memerlukan masa selama sejam untuk disetkan semula bagi membolehkannya meneruskan operasi.
"Kami juga akan menempatkan 30 kakitangan yang bertugas di KLIA bagi membantu dan memudahkan perjalanan para penumpang dan meminta agar penumpang mendengar arahan daripada kakitangan MAHB termasuk kawalan jumlah kemasukan penumpang yang menggunakan aerotrain bagi mengelakkannya mengalami beban lebih," katanya.
Badlisham berkata kali terakhir perkhidmatan aerotrain pernah mengalami kerosakan besar adalah pada Disember lepas.
#aerotrain #Datuk Badlisham Ghazali. #KLIA #Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur #MAHB
;