MAHB: PAC perlu guna saluran betul untuk dapatkan penjelasan - Loke

Bernama
Februari 5, 2025 17:02 MYT
Menteri Pengangkutan Anthony Loke ketika sidang media pada Majlis Paduan Kasih MADANI dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di Kementerian Pengangkutan hari ini.- Foto Bernama
PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) perlu menggunakan saluran yang betul apabila ingin mendapatkan sebarang penjelasan daripada kementeriannya termasuk mengenai penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Ringkasan AI
  • Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menegaskan bahawa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) perlu menggunakan saluran rasmi untuk mendapatkan penjelasan mengenai penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
  • Loke menyatakan bahawa kelewatan projek Aerotrain di KLIA adalah di bawah kendalian MAHB dan bukan Kementerian Pengangkutan, dan beliau tidak berpuas hati dengan kelewatan tersebut.
  • Loke menjelaskan bahawa MAHB adalah syarikat tersenarai dan pemilikan ekuiti oleh institusi seperti Khazanah Nasional Bhd dan KWSP diuruskan oleh pengurus dana institusi tersebut, bukan oleh kementeriannya.

Loke yang menegaskan bahawa beliau dan kementeriannya tidak terlibat dalam urus niaga korporat itu berkata sebarang keputusan oleh PAC harus dibuat oleh jawatankuasanya dan bukan hanya oleh pengerusinya sendiri iaitu Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
"Dia tidak boleh suka-suka buat kenyataan. PAC ini bukan seorang saja. Walaupun dia pengerusi, dia bukannya seorang saja," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Paduan Kasih MADANI dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan, di sini, hari ini.
Mas Ermieyati sebelum ini dilaporkan berkata ia tidak menolak kemungkinan untuk memanggil beberapa individu penting termasuk Menteri Pengangkutan berhubung dakwaan kerugian RM500 juta dalam urus niaga saham MAHB oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pengerusi PAC itu berkata Loke bersama-sama semua individu berkenaan akan dipanggil memberi keterangan dalam prosiding secara berperingkat yang akan bermula minggu kedua bulan ini.
Ditanya sama ada beliau telah dipanggil oleh PAC, Loke menafikannya dan berkata sebarang permintaan oleh jawatankuasa itu perlu dibuat secara rasmi kepada kementerian tersebut.
"Kalau ada apa-apa PAC nak minta kita bagi penjelasan, dia perlu berurusan secara rasmi dengan Kementerian Pengangkutan.
"Kita akan lihatlah apa skop yang dia nak tanya dan sebagainya. Kalau skop itu bukan di bawah kita, kita akan tulis kepada Speaker Dewan Rakyat bahawa ini tak ada kena-mengena dengan Kementerian Pengangkutan," katanya.
Loke berkata MAHB adalah sebuah syarikat tersenarai dan tidak berada di bawah Kementerian Pengangkutan justeru soal pemilikan ekuiti MAHB oleh institusi termasuk Khazanah Nasional Bhd dan KWSP diuruskan oleh pengurus dana institusi tersebut.
"Dalam kes yang disebutkan itu, ia merujuk kepada KWSP. Jadi kalau nak tanya penjelasan, tanyalah KWSP, bukan kementerian saya," katanya.
Mengenai kelewatan projek Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Loke berkata projek tersebut berada di bawah kendalian MAHB dan bukan kementeriannya.
"Saya pun tak puas hati dengan kelewatan projek Aerotrain ini, tetapi projek ini bukan di bawah dana pembangunan Kementerian Pengangkutan, dana dan kontrak yang dianugerahkan itu adalah di bawah MAHB, dan sepatutnya lembaga pengarah MAHB yang bertanggungjawab menjelaskannya," katanya.
MAHB baru-baru ini mengumumkan bahawa perkhidmatan Aerotrain KLIA yang pada asalnya dijadualkan disambung semula pada Januari 2025, kini ditangguhkan ke suku kedua 2025. Perkhidmatan itu telah tidak beroperasi selama dua tahun sekarang.
-- BERNAMA
#penjualan saham MAHB #Anthony Loke #Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara #Mas Ermieyati Samsudin
;