MAHB laksana daftar masuk bagasi sendiri di KLIA2

Bernama
Januari 5, 2018 04:15 MYT
Inisiatif daftar masuk bagasi sendiri meningkatkan pengalaman perjalanan selaras dengan pertumbuhan kukuh dalam jumlah pergerakan penumpang dalam beberapa tahun kebelakangan ini. - Gambar hiasan
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan menyediakan 15 kaunter di barisan V dan W di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (KLIA2) dengan kemudahan daftar masuk bagasi sendiri atau ‘self-baggage drop’ (SBD) antara 7 Jan dan 11 Feb, 2018.
"Kemudahan SBD adalah Scan&Fly oleh SITA, pakar terkemuka dalam teknologi maklumat dan komunikasi pengangkutan udara, boleh dinikmati oleh lebih daripada 25 juta penumpang AirAsia, yang melalui KLIA2 dalam setahun, tertakluk kepada kaunter daftar masuk syarikat penerbangan mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali berkata dengan sistem SBD di terminal itu, masa giliran mendaftar masuk bagasi kini boleh dikurangkan separuh dari masa sebelumnya daripada 2.5 minit bagi setiap penumpang sebelum ini kepada hanya satu minit bagi setiap penumpang sekarang ini.
"Inisiatif ini akan meningkatkan pengalaman perjalanan selaras dengan pertumbuhan kukuh dalam jumlah pergerakan penumpang dalam beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.
Menurut MAHB, sehingga November 2017, KLIA2 mencatatkan 27.4 juta pergerakan penumpang.
Pelaksanaan SBD juga akan meningkatkan jumlah kendalian penumpang sejam semasa daftar masuk bagasi kepadai 60 penumpang sejam dari purata 24 sebelumnya, katanya.
Katanya, semasa tempoh sebulan pemasangan itu, penumpang dinasihatkan supaya berjumpa kakitangan lapangan terbang dan syarikat penerbangan di terminal untuk sebarang pertanyaan.
-- BERNAMA
#AirAsia #Badlisham Ghazali #bagasi #daftar #KLIA2 #MAHB #Malaysia Airports Holdings Bhd #penerbangan #SBD #Scan&Fly #sita
;