MAHB catat hampir 10 juta pergerakan penumpang pada Mei 2023

Bernama
Julai 3, 2023 21:57 MYT
Sektor antarabangsa meraih momentum dengan 2.98 juta penumpang berikutan peningkatan trafik yang ketara dari Indonesia, Emiriah Arab Bersatu dan China. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatatkan 9.92 juta pergerakan penumpang pada Mei 2023, naik 37.7 peratus daripada 7.20 juta dicatatkan dalam bulan yang sama pada tahun lepas.
Ini adalah trafik tertinggi yang dicapai sejak pandemik pada Mac 2020, mengatasi jumlah pada Disember 2022 sebanyak 9.52 juta, menurut pengendali lapangan terbang itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Kali terakhir trafiknya melebihi 10 juta adalah pada Januari 2020 (11.89 juta) dan jumlah itu merosot kepada 8.87 juta pada bulan berikutnya.
MAHB berkata prestasi itu berkembang dengan baik kepada paras sebelum pandemik didorong oleh pemulihan trafik yang kukuh daripada operasi di Malaysia dan Turkiye.
Katanya sektor antarabangsa dan domestik mencatatkan jumlah tertinggi sejak Mac 2020, masing-masing sebanyak 4.6 juta dan 5.4 juta penumpang.
Bagi lapangan terbangnya di Malaysia, MAHB berkata pergerakan penumpang mencapai paras tertinggi baharu dengan 6.83 juta penumpang pada Mei 2023, naik 48.6 peratus berbanding 4.60 juta dicatatkan dalam bulan yang sama pada tahun lepas.
Katanya sektor antarabangsa meraih momentum dengan 2.98 juta penumpang berikutan peningkatan trafik yang ketara dari Indonesia, Emiriah Arab Bersatu dan China.
Katanya pada bulan tersebut, Xiamen Air mengembangkan rangkaiannya dengan memulakan penerbangan antarabangsa terus dari Chongqing ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) manakala AirAsia mengembangkan rangkaiannya dari KLIA ke Kertajati, satu-satunya syarikat penerbangan yang mengendalikan laluan tersebut.
AirAsia X memulakan perkhidmatan baharu ke Bangkok Suvarnabhumi dengan lima kekerapan mingguan dan Batik Air Malaysia melancarkan penerbangan harian baharu yang beroperasi ke Maldives, katanya.
"Sektor domestik juga luar biasa, mencatatkan pergerakan penumpang tertinggi pada tahun ini didorong oleh cuti sekolah selama dua minggu, pelbagai cuti umum yang berterusan hingga awal Mei berikutan musim perayaan Raya, Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) dan pergerakan jemaah haji dari lapangan terbang Malaysia Airports Sdn Bhd ke KLIA.
"Pertumbuhan pergerakan penumpang domestik turut disokong oleh operasi jet Firefly dengan penerbangan harian ke Sandakan, Tawau dan Miri dari Kota Kinabalu, Kuching dan Pulau Pinang," katanya.
Bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul di Turkiye, MAHB berkata jumlah penumpang hampir tiga juta orang pada Mei 2023, jumlah yang dicatatkan secara amnya pada musim panas pada tahun 2022 dan 2019 sebahagiannya didorong oleh sektor antarabangsa.
"Ia adalah menggalakkan apabila sektor antarabangsa mencapai pencapaian mencatatkan 1.58 juta pada Mei 2023, paras yang dicatatkan pada musim panas pada tahun 2022 dan pergerakan penumpang tertinggi dicatatkan untuk lapangan terbang.
"Kesalinghubungan antarabangsa terus berkembang untuk lapangan terbang dengan jet Anadolu memulakan penerbangan harian ke Rom dan Royal Air Maroc ke Casablanca dengan empat kekerapan mingguan pada Mei 2023," katanya.
MAHB kini menguruskan 39 lapangan terbang di seluruh Malaysia dan satu lapangan terbang antarabangsa di Turkiye.
-- BERNAMA
#pergerakan penumpang #MAHB #lapanmgan terbang #trafik udara
;