MAHB bersama Tourism Malaysia dan LADA jadi tuan rumah Routes Asia 2024

Bernama
Februari 17, 2023 09:30 MYT
MAHB berharap untuk melanjutkan pengalaman yang memperkayakan dan tidak dapat dilupakan yang diberikan oleh Malaysia sebagai negara tuan rumah dalam Edisi Routes Asia tahun depan. - Foto BERNAMA
CHIANG MAI: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bersama Tourism Malaysia dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bersedia untuk menjadi tuan rumah Routes Asia 2024 di Langkawi selepas Malaysia memenangi bidaan untuk menganjurkan acara itu pada Januari 2020.
Pengurus Besar Pemasaran dan Pembangunan Penerbangan MAHB Mohamed Sallauddin Mat Sah berkata, acara pada tahun depan itu yang dijangka menyaksikan penyertaan lebih 1,000 delegasi, akan menjadi platform yang baik untuk lapangan terbang dan semua pihak berkepentingan dalam industri pelancongan mempergiatkan usaha membawa pergerakan penumpang ke tahap prapandemik.
Beliau berkata, Malaysia sepatutnya menjadi tuan rumah acara itu pada 2021 tetapi terpaksa dijadualkan semula kerana pandemik COVID-19 yang menjejaskan industri pelancongan dan pengembaraan.
"Ini adalah masa yang penting untuk kami memberitahu kepada pemain industri sama ada memulakan syarikat penerbangan baharu, laluan baharu atau kembali segera ke Malaysia mengikut bilangan kekerapan yang sama pada 2019," katanya selepas majlis penyerahan yang dianjurkan oleh MAHB di Routes Asia CNX 2023 di sini pada Khamis.
Beliau berkata MAHB berharap untuk melanjutkan pengalaman yang memperkayakan dan tidak dapat dilupakan yang diberikan oleh Malaysia sebagai negara tuan rumah dalam Edisi Routes Asia tahun depan.
"Kami juga dengan rendah hati menjemput syarikat penerbangan mempertimbangkan dengan serius untuk Langkawi dijadikan destinasi seterusnya sama ada secara berjadual atau penerbangan sewa bagi menikmati pelbagai tawaran yang boleh sediakan oleh pulau itu untuk pengembara," katanya.
Routes Asia 2024 di Langkawi akan diadakan pada suku pertama tahun depan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri.
Mohamed Sallauddin berkata Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) juga telah bersetuju memberikan sokongan yang signifikan untuk acara itu tahun depan.
Mengenai hasil tahun ini, beliau berkata MAHB telah bertemu lebih 20 syarikat penerbangan dari rantau Asia-Pasifik, Eropah serta syarikat penerbangan timur laut semasa acara tiga hari yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Chiang Mai.
"Kami mencapai sasaran kami untuk bertemu dengan syarikat penerbangan, terutamanya syarikat penerbangan dari China dan kami melihat syarikat penerbangan baharu mula menghubungi kami. Secara tradisinya, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu menerima ramai penumpang dari China.
"Syarikat penerbangan yang kami temukan sekarang adalah gabungan syarikat penerbangan baharu dan sedia ada. Mereka kelihatan meyakinkan dan mungkin memulakan operasi mereka ke Malaysia dalam tempoh enam hingga 12 bulan lagi," katanya sambil menambah halangan utama yang dihadapi syarikat penerbangan adalah sama ada kekangan pesawat atau kekurangan sumber manusia.
Secara keseluruhannya, beliau berkata Routes Asia 2023 adalah kisah kejayaan bagi Malaysia kerana MAHB berjaya membawa entiti pelancongan negeri ke acara itu, yang masing-masing menyediakan tawaran kepada syarikat penerbangan untuk sambungan yang lebih meluas di rantau ini.
Mohamed Sallauddin juga berharap dapat meningkatkan pergerakan penumpang tahun ini berbanding 52 juta yang dicatatkan pada 2022, terutamanya dengan pembukaan semula sempadan China dan komitmen yang diberikan oleh syarikat penerbangan untuk meningkatkan kekerapan penerbangan mereka bulan ini, yang akan merangsang pertumbuhan trafik yang lebih besar dalam beberapa bulan akan datang.
Sementara itu, Pengarah The Routes Steven Small berharap Langkawi akan menjadi peluang yang baik untuk Malaysia mempamerkan tawaran terbaiknya yang boleh diharapkan oleh komuniti penerbangan di Langkawi dan ke arah pemulihan di rantau ini.
Routes Asia menyediakan platform untuk syarikat penerbangan, lapangan terbang, pihak berkuasa pelancongan dan pihak berkepentingan penerbangan di rantau ini bertemu, berkongsi amalan terbaik dan membangunkan strategi rangkaian serta memastikan pembangunan perkhidmatan udara pada masa hadapan di seluruh Asia Pasifik.
Pada asalnya dikenali sebagai New Route Asia, acara itu adalah cetusan idea MAHB dan pertama kali diadakan pada tahun 2003 di Kuala Lumpur selama tiga tahun berturut-turut dan sedekad kemudian, MAHB dengan Lembaga Pelancongan Sarawak menjadi hos bersama Routes Asia 2014 di Kuching.
-- BERNAMA
#MAHB #Tourism Malaysia #LADA #Mohamed Sallauddin Mat Sah
;