Mahasiswa, wakil parti politik berhimpun bantah kenaikan harga barang

Fareez Azman
Julai 23, 2022 15:49 MYT
Perhimpunan yang berlangsung tepat jam 2.00 petang itu bermula dari hadapan pusat beli-belah Sogo. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sekitar 250 mahasiswa dan wakil parti politik menyertai perhimpunan membantah kenaikan harga barang di Jalan Tuanku Abdul Rahman di ibu negara pada Sabtu.
Perhimpunan itu bermula tepat jam 2 petang di hadapan pusat beli-belah Sogo.
Peserta bagaimanapun mula berarak untuk ke Dataran Merdeka, namun dihalang oleh pihak polis.
Bagaimanapun selepas beberapa perbincangan, peserta dibenarkan mengadakan perhimpunan di hadapan pusat membeli belah tersebut.
Antara yang hadir dalam perhimpunan itu, ahli Jawatankuasa Turun, Amir Ad Hadi, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli dan wakil Gerakan Mahasiswa, Aliff Naif.
Tepat jam 3.00 petang, kesemua peserta dilihat bersurai seperti dijadualkan.
Pemerhatian Astro AWANI mendapati puluhan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berkawal di sekitar lokasi perhimpunan.
#perhimpunan #bantahan kenaikan harga barang #turun #AMK
;