Seorang mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) maut selepas terlibat dalam satu kemalangan bas yang dalam perjalanan pulang dari lawatan perlombongan arang batu di Geumpang Pidie Ache di Geumpang, Acheh, Indonesia pada malam Rabu.

Naib Canselor USM Datuk Omar Osman dalam satu kenyataan berkata pihaknya dimaklumkan bahawa mahasiswa terbabit meninggal dunia di Pusat Kesihatan Masyarakat Geumpang, Acheh.

"PelajaryangmautitudisahkansebagaiMuhamad Izzamir Nabihan A Majid, 23, pelajar tahun akhir Kejuruteraan Sumber Mineral yang berasal dari Pulau Pinang.

"Pihak Universiti berduka cita di atas kemalangan yang berlaku dan mengucapkan takziah serta pihak keluarga mangsa telah dihubungi," kata Omar dalam satu kenyataan pada malam Rabu.

Bas terbabit turut dinaiki bersama 18 mahasiswa yang lain dan enam kakitangan termasuk pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Kampus Kejuruteraan.

Tujuh daripada jumlah mangsa mengalami cedera ringan manakala dua orang lagi dikejarkan ke rumah sakit dan pusat kesihatan masyarakat yang berhampiran lokasi kejadian.

"Pasukan membantu juga akan dihantar ke Acheh untuk urusan membantu pelajar dan staf yang terlibat," kata Omar.

Omar berkata pihaknya juga sehingga kini telah menubuhkan bilik gerakan bagi membantu urusan-urusan mangsa kemalangan dengan bantuan Konsulat Malaysia di Medan.

Mengulas lanjut kejadian, sehingga kini pihak Universitas Syiah Kuala termasuk Rektornya, Persatuan Pelajar Malaysia di Acheh dan Alumni USM di Acheh sedang memberi bantuan untuk proses menguruskan dan membawa pulang semua warga USM yang terlibat.

Menurut beliau lagi pihaknya sehingga kini (pada jam kira-kira 2.30 pagi) masih menunggu pengesahan dan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa.

Sebarang pertanyaan pihak keluarga mangsa boleh menghubungi Timbalan Pendaftar Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Husin Yahya di talian 0194721159.