Mahasiswa UNIMAS jadi sukarelawan bungkus topeng penutup hidung dan mulut

Rudi Affendi Khalik
April 24, 2020 20:42 MYT
Mereka turut mengamalkan garis panduan kebersihan dan penjarakan sosial seperti yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang menjalankan operasi pembungkusan. FOTO: Astro AWANI
Seramai 2,000 mahasiswa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menjadi sukarelawan membantu membungkus 2.7 juta paket topeng penutup hidung dan mulut.
Ini menyaksikan penglibatan UNIMAS sebagai salah satu Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam di negeri itu yang bergiat aktif membantu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam usaha mengekang penularan COVID-19.
Menurut Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, setakat ini lebih 400,000 paket topeng penutup hidung dan mulut berjaya dibungkus oleh pasukan sukarelawan.
“Kita telah membungkus 400,00 paket mengandungi empat topeng penutup hidung dan mulut,” katanya ketika ditemui di City Campus UNIMAS di Kuching.
Tambah Dr Mohamad Suaidi, operasi pembungkusan dilakukan di City Campus dan di sembilan kolej kediaman pelajar yang terletak di Kota Samarahan.
Jelas beliau, kesemua sukarelawan bertugas juga mengamalkan garis panduan kebersihan dan penjarakan sosial seperti yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang menjalankan operasi pembungkusan.
Sementara itu menurut Pengetua Kolej Sakura UNIMAS, Siti Nor Ain Musa, kesemua sukarelawan ini bertugas mengikut syif yang ditetapkan iaitu pagi, tengah hari, petang dan malam.
“Seramai 25 orang sukarelawan bertugas di kolej ini dan ini merupakan satu-satunya kolej perempuan yang terdapat di universiti ini,” jelasnya.
#AWANI Sarawak #City Campus #COVID-19 #Kolej Sakura UNIMAS #Kuching #Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi #Sarawak #Unimas
;