Mahasiswa UNIMAS dibenarkan kembali ke kampus secara berperingkat
Abdul Yazeed Hamzani
Oktober 6, 2021 16:17 MYT
Oktober 6, 2021 16:17 MYT
KOTA SAMARAHAN: Mahasiswa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS dibenarkan pulang ke kampus secara berperingkat sebelum semester bermula pada 11 Oktober ini.
Pengerusi Jawatankuasa COVID-19 UNIMAS, Profesor Datu Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata jumlah yang diluluskan hanya 2,000 pelajar sahaja dan setakat ini seramai 500 pelajar sudah kembali ke kampus.
“Kita menganggarkan kapasiti yang termampu kita isi adalah mungkin 4,000 orang pelajar.
'Buat waktu ini sudah hampir ke 2,000 pelajar yang telah memohon untuk pulang dan telah kita luluskan dan sehingga hari ini kita baru ada antara 400 hingga 500 orang pelajar (yang sudah berada di kampus)” katanya kepada AWANI Borneo di sini, pada Rabu.
Beliau menambah antara garis panduan bagi pelajar untuk masuk semula ke kampus termasuklah ujian saringan COVID-19 serta persediaan dokumen kemasukan Sarawak dan penghantaran ke kampus harus lah dilakukan tanpa iringan ibu bapa ke hostel yang disediakan.
“Pelajar dari Semenanjung kena buat PCR swab sebelum masuk dan tempoh sahnya 72 jam dan pada masa yang sama permohonan untuk masuk ke Sarawak melalui proses yang disediakan.
"Pelajar yang akan dihantar ke kampus biasanya dihantar oleh penjaga atau ibu bapa, (kali ini) kita syaratkan ibu bapa menghantar di kawasan yang telah ditetapkan sahaja.
“Kita juga ambil maklum bahawa pelajar-pelajar dari Semenanjung, Sabah dan Labuan terpaksa mengikuti syarat yang telah ditetapkan oleh pihak SDMC iaitu contohnya ujian PCR di dalam jangka 72 jam sebelum balik ke kampus dan sebagainya.
Pelajar Sarawak pula perlu melakukan sekurang-kurangnya sekali ujian saringan bagi bagi memastikan mereka bebas daripada jangkitan.