Mahasiswa UM mula 'occupy' kampus tanda sokong Fahmi Zainol

Astro Awani
Disember 10, 2014 22:05 MYT
-Facebook Fahmi Zainol
(Sumber: FB Fahmi Zainol)
Beberapa mahasiswa Universiti Malaya dilihat mula 'berkhemah' di kampus itu sejak petang tadi bagi menunjukkan perasaan tidak setuju mereka terhadap hukuman yang diberi kepada lapan pelajar yang terlibat dalam penganjuran perhimpunan haram pada Oktober lepas.
Antara yang menerima hukuman itu adalah Presiden Persatuan Mahasiswa UM (PMUM) Fahmi Zainol yang digantung pengajian dua semester.
Fahmi turut dikenakan denda RM600.00 bagi empat pertuduhan keatasnya.
"Kawan-kawan Universiti Malaya sedang " occupy" kawasan hadapan Universiti Malaya, menuntut supaya hukuman kepada mahasiswa UM digugurkan. Semua masyarakat turut dijemput memenuhi kawasan hadapan UM," Fahmi menulis di halaman Facebooknya.
(Sumber: FB Fahmi Zainol)
UM, mendapati tujuh daripada lapan pelajarnya yang terlibat di dalam penganjuran pidato "40 Tahun: Dari UM ke Penjara" Oktober lalu, bersalah, dan telah memberi amaran keras serta mengenakan hukuman menggantung pengajian dan denda ke atas mereka.
Antara pelajar yang digantung pengajian selama dua semester termasuk Presiden Pro-Mahasiswa UM, Safwan Shamsuddin yang dikenakan denda RM300 bagi dua pertuduhan.
Fahmi sebelum itu dikenakan sembilan pertuduhan termasuk menganjurkan perhimpunan haram, menghadiri perhimpunan haram dan mengingkari arahan universiti.
UM, di dalam satu kenyataan rasmi, menyatakan bahawa keputusan terhadap pelajar-pelajar itu adalah menurut pertuduhan mengikut Kaedah-kaedah Universiti Malaya (Tatatertib Pelajar-pelajar) 1999.
#Fahmi Zainol #Khemah #UM
;