Mahasiswa tidak perlu pulangkan PerantiSiswa - Ismail Sabri
Firdaus Azil
September 3, 2022 16:15 MYT
September 3, 2022 16:15 MYT
SHAH ALAM: Penerima PerantiSiswa Keluarga Malaysia kini tidak lagi perlu memulangkan peranti itu, seperti mana yang ditetapkan sebelum ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ahli Parlimen Bera itu berkata, Kerajaan sebelum ini telah menetapkan Inisiatif PerantiSiswa itu diberikan secara Konsep Guna Pakai (KGP), yang mana mahasiswa perlu memulangkannya selepas tamat pengajian.
Katanya lagi, keputusan itu dicapai susulan maklum balas pertemuan antara Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan Majlis Perwakilan Pelajar pada 15 Ogos lepas.
“Namun atas maklum balas yang memberangsangkan semasa sesi pertemuan antara YB Menteri Komunikasi dan Multimedia bersama wakil Majlis Perwakilan Pelajar pada 15 Ogos lalu, terdapat cadangan supaya PerantiSiswa ini diberikan secara terus kepada mahasiswa yang mendapat keputusan cemerlang.
“Sukacita saya mengumumkan, bahawa Kerajaan bersetuju untuk memberikan terus tablet berjenama ini kepada penerima PerantiSiswa. Jadi tidak perlu pinjam tidak perlu pulang balik. Kerajaan beri terus kepada penerima," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam, di sini hari ini.
Sebelum ini, Annuar dilaporkan berkata dijangka 60,000 pelajar akan menerima manfaat dan permohonan yang dibuka secara dalam talian sejak 15 April hingga 15 Mei lepas bagi fasa pertama telah menerima kira-kira 100,000 permohonan.
Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia adalah inisiatif kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih untuk membekalkan sebuah peranti tablet kepada setiap pelajar B40 di IPT.
Tablet jenama Samsung telah dipilih sebagai pemenang tender bagi program berkenaan untuk membekalkan peranti itu mengikut lima zon iaitu Zon Sabah dan Sarawak, Zon Utara, Zon Tengah, Zon Timur dan Zon Selatan.
Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, Kerajaan juga bersetuju untuk memanjangkan tempoh pendaftaran Pakej Remaja Keluarga Malaysia, bertujuan untuk memastikan lebih ramai golongan pelajar dan remaja memperoleh akses Internet untuk pembelajaran talian dari rumah tanpa kekangan data.
“Pakej prabayar mampu milik khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pelajar pascasiswazah ini, telah diperkenalkan bermula bulan Oktober 2021 pada asalnya dijadual akan tamat pada bulan Oktober tahun ini.
“Keputusan pemanjangan tempoh ini diharapkan memberi peluang kepada lebih ramai remaja dan pelajar untuk melanggan Pakej Remaja Keluarga Malaysia yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan mudah alih,” katanya lagi.
Dalam majlis yang sama, Ismail Sabri berkata, Kerajaan akan memperluaskan penganjuran Program Jualan Keluarga Malaysia ke kampus-kampus pengajian tinggi bagi memastikan kebajikan mahasiswa terpelihara.
Beliau berkata, penganjuran program di kampus itu, diyakini dapat mengurangkan beban mahasiswa terhadap tekanan harga barangan yang tinggi.
“Diharapkan juga dengan inisiatif-inisiatif daripada pihak Kerajaan ini, kita sebagai Keluarga Malaysia akan terus teguh bersama serta mengetepikan perbezaan dan meraikan kebersamaan sebagai sebuah keluarga besar Malaysia,” katanya lagi.
Terdahulu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Noraini Ahmad dalam ucapannya mengumumkan, seramai 65,898 pelajar IPTA telah memohon di mana 45,341 permohonan telah diluluskan, dan baki 20,557 masih dalam semakan pengesahan.