Mahasiswa, tenaga pengajar dan pentadbir fokus Zambry pacu pendidikan tinggi
Bernama
Disember 14, 2023 13:04 MYT
Disember 14, 2023 13:04 MYT
PUTRAJAYA: Tiga komponen utama iaitu mahasiswa, tenaga pengajar dan pentadbir akan diberi tumpuan dalam memacu institusi pendidikan tinggi di negara ini, kata Menteri Pendidikan Tinggi yang baharu Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Beliau bersama pasukan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam masa yang sama akan tetap meneruskan setiap dasar sedia ada yang telah digariskan pendahulunya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini, katanya.
"Saya akan bersama mahasiswa, pensyarah kerana komponen di universiti itu bukan satu kelompok sahaja ada tiga kelompok teras utama, pertamanya mahasiswa, tenaga pengajar dan ketiga ialah pentadbir (yang perlu diberi penekanan)," katanya kepada pemberita selepas mengimbas cap jari sebagai simbolik permulaan tugas rasmi di KPT di sini hari ini.
Turut sama memulakan tugas rasmi hari ini ialah timbalannya Datuk Mustapha Sakmud yang bertukar portfolio daripada Kementerian Sumber Manusia.
Mengenai amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mesyuarat Kabinet pertama semalam selepas rombakan Kabinet, Zambry berkata Anwar mahu barisan Jemaah Menteri bekerja sebagai satu pasukan untuk membangunkan negara ini.
"Kita bekerja berpasukan bukan hanya dalam konteks kementerian tetapi juga antara kementerian, ada hal yang berkaitan dengan tugasan tertentu yang memerlukan kebersamaan dalam konteks antara kementerian.
"Ini sangat mustahak apatah lagi dalam konteks pendidikan. Pendidikan tinggi sangat luas konsepnya iaitu di universiti awam, swasta, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), politeknik dan sebagainya," katanya.
Pada Selasa lepas, Anwar melakukan rombakan Kabinet yang pertama sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan yang menyaksikan pertambahan bilangan Jemaah Menteri, pengguguran seorang menteri serta penampilan tokoh korporat dan akademik sebagai muka baharu, selain kemunculan semula lima bekas menteri.
Rombakan turut menyaksikan pertukaran portfolio menteri-menteri dan timbalan menteri sedia ada melibatkan Zambry yang dahulunya Menteri Luar bertukar portfolio kepada Menteri Pendidikan Tinggi. Menteri Luar sekarang digalas Datuk Seri Mohamad Hasan, manakala Mohamed Khaled sebagai Menteri Pertahanan.
-- BERNAMA
#Kementerian Pendidikan Tinggi
#Zambry Abd Kadir
#KPT
#institusi pendidikan tinggi
#rombakan kabinet