Mahasiswa sedar bahaya rasuah, namun terjebak apabila bekerja - Hussamuddin Yaacub

Astro Awani
Julai 29, 2021 08:42 MYT
Hussamuddin menyifatkan ekosistem rasuah yang berakar umbi dalam negara menyebabkan mahasiswa mula terjebak dengan gejala itu apabila memasuki pasaran kerja.
KUALA LUMPUR: Ketua Pasukan Rasuah Buster, Datuk Hussamuddin Yaacub menyifatkan ekosistem rasuah yang berakar umbi dalam negara menyebabkan mahasiswa mula terjebak dengan gejala itu apabila memasuki pasaran kerja.
Tegasnya, amalan rasuah boleh dicegah dari awal jika setiap anggota masyarakat memainkan peranan masing-masing.
"Kesedaran mahasiswa tentang bahaya rasuah itu sudah ada, cuma oleh kerana ekosistem rasuah yang berakar umbi menyebabkan kebanyakan apabila masuk ke pasaran kerja mereka akan terjebak.
"Jadi kenapa kita gerakkan Rasuah Buster? Kita mahu mempromosikan kempen dan memutuskan rantaian rasuah ini," katanya semasa pembentangan Hasil Kajian Persepsi Kecenderungan Tingkah Laku Rasuah Dalam Kalangan Mahasiswa anjuran Sinar Harian pada Rabu.
Dalam hal ini katanya, golongan ibu bapa, pensyarah mahupun mahasiswa perlu membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengatasi masalah rasuah yang berada di peringkat awal.
"Kita nak masyarakat terutama ibu bapa, mahasiswa, pensyarah mengambil alih kerja SPRM.
"Biar SPRM siasat dan hukum mereka yang sudah terpalit lama dengan rasuah ini. Mereka yang di peringkat 1 dan 2, diambil alih oleh kita," ujarnya.
Selain itu, beliau juga berpandangan, Naib Canselor di setiap universiti menjadi 'ketua pengarah SPRM' di peringkat institusi pengajian tinggi.
#Institusi Pengajian Tinggi #Malaysia #Rasuah #SPRM
;