Mahasiswa perlu lengkapi diri dengan karakter kemanusiaan - Anwar
Sahlizah Mohamed
Februari 6, 2019 22:53 MYT
Februari 6, 2019 22:53 MYT
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mahasiswa di negara ini perlu melengkapkan diri mereka dengan beberapa karakter penting antaranya beretika, mempunyai nilai moral yang tinggi dan keteguhan prinsip yang seimbang mengikut Islam.
Katanya, tahap pendidikan di negara ini masih lagi jauh ke belakang dan pencapaian akademik yang baik tidak mencukupi tanpa menjiwai elemen kemanusiaan.
“Komited dalam pendidikan itu bagus, tetapi ia tidak hanya terhad setakat itu. Elemen kemanusiaan itu penting dan ia kini menjadi salah satu cabaran yang serius.
“Biarpun saya tidak dibenarkan memasuki universiti dalam tempoh 20 tahun atas sebab yang anda semua tahu, hati dan jiwa saya tetap komited dengan idea untuk membangunkan institusi pendidikan di negara ini,” katanya pada Rabu.
Anwar berkata demikian semasa bercakap di hadapan sekitar 300 tetamu pada Seminar Antarabangsa Pemikiran Islam Semasa dan Reformasi Masyarakat bertemakan Pemikiran Islam Semasa dan Prospek Reformasi Masyarakat: Perspektif Geo-Budaya.
Seminar itu diadakan di Institut Antarabangsa Peradaban Islam dan Dunia Melayu (Istac) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Turut hadir ialah Prof. Dr. John L Espesito dari Pusat Kefahaman Muslim-Kristian Universiti Georgetown, Amerika Syarikat.
Menurut Anwar, jika terbukti sistem pendidikan di Malaysia ingin melakukan pembaharuan, ia perlu bermula dengan perubahan dari segi tingkah laku dan semangat jati diri agar cabaran yang dilalui lebih bermakna.
“Jangan bandingkan (diri kita) dengan negara yang miskin seperti Afrika, sebaliknya lakukan perbandingan dengan universiti yang hebat dan terbaik dari segi etika, moral dan nilai yang baik. Lihat sahaja kepada universiti dan institusi pendidikan yang klasik,” katanya.
Dalam pada itu, seminar kali ini membariskan para cendekiawan tersohor dalam pemikiran dan tamadun Islam selain turut disertai para ilmuan mengikut kepakaran masing-masing
Antaranya ialah Prof. Datuk Dr Osman Bakar dari ISTAC, Prof. Dr. Azyumardi Azra (Universiti Islam Jakarta), Prof. Datuk Dr. Murad Merican (Universiti Sains Malaysia) dan beberapa lagi tokoh pemikir.
Penganjuran seminar adalah bertujuan memberi gambaran keseluruhan hubungan di antara pemikir agama dan reformasi masyarakat dalam konteks masyarakat Islam semasa.
Ia adalah untuk membuat penilaian kritikal dan perbandingan geo-budaya mengenai trend dalam pemikiran Islam semasa dan implikasinya pada masa depan.