Mahasiswa perlu kaji kesahihan maklumat, elak provokasi politik
Bernama
September 11, 2015 16:07 MYT
September 11, 2015 16:07 MYT
Kerajaan perlu mengambil langkah lebih proaktif untuk memberi penjelasan mengenai pelbagai isu semasa yang hangat diperkatakan dan mendapat perhatian pihak media sejak kebelakangan ini, kata para pemimpin pelajar.
Mereka menegaskan, tanpa penjelasan sewajarnya daripada saluran rasmi kerajaan, akan mendorong golongan muda, terutamanya penuntut universiti, merujuk kepada media-media sosial termasuk blog bagi mendapatkan maklumat, yang sering kali kurang tepat dan telah ditokok-tambah dengan maklumat tidak benar.
Keadaan menjadi amat membimbangkan apabila terdapatnya individu dan pihak-pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menyebarkan maklumat tidak sahih di laman media sosial, sehingga membangkitkan kemarahan golongan penuntut universiti. Natijahnya, ia mempengaruhi dan menarik perhatian mereka untuk menyertai aktiviti-aktiviti menyalahi undang-undang, sekali gus memburukkan bukan sahaja imej mereka sebagai mahasiswa malah negara.
Memandangkan golongan penuntut sangat mudah terpengaruh dengan propaganda anti-kerajaan, apakah langkah yang perlu mereka ambil agar tidak terpengaruh dan terjerumus ke dalam perangkap para penyebar propaganda ini?
KAJI KESAHIHAN MAKLUMAT
Mengupas persoalan itu, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Abdul Hatim Hakimi yang menyentuh soal kebebasan mahasiswa dalam menyuarakan pendapat atau mengkritik sesuatu isu menegaskan, mereka perlu menjaga tatasusila dan etika sebagai seorang penuntut.
Beliau berkata lambakan maklumat di media sosial seperti Facebook, Twitter dan blog adalah cara yang paling mudah bagi golongan mahasiswa untuk mendapatkan pelbagai maklumat namun mereka harus bijak mengimbangi kesahihan maklumat itu.
"Sebagai mahasiswa kita mempunyai pilihan sama ada mahu menerima atau menolak maklumat itu kerana tidak semua yang disebarkan melalui media sosial adalah tepat dan benar.
"Jika mereka (mahasiswa) menerima bulat-bulat maklumat tersebut tanpa mengkaji kesahihan kandungannya...ia bermakna pemikiran mahasiswa mudah diracuni tanpa mendengar dan melihat sendiri," katanya kepada Bernama.
Mengulas lanjut, Abdul Hatim berkata kebebasan mahasiswa dalam mentafsirkan sesuatu maklumat haruslah berdasarkan kepada fakta yang tepat agar tidak mudah dikelirukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Sehubungan itu, kata beliau kerajaan perlu mengambil insiatif untuk menjernihkan keadaan dengan memberi penerangan kepada golongan mahasiswa dan belia apabila sesuatu isu berbangkit.
TURUN PADANG
Sementara itu, Anggota Parlimen Belia Malaysia (PBM) Negeri Sarawak Mohammad Fikri Ali berkata pendekatan secara terbuka antara mahasiswa dengan kerajaan adalah wadah terbaik bagi menerangkan isu-isu semasa kepada golongan tersebut.
Beliau berkata melalui usaha tersebut mahasiswa dapat berinteraksi dengan lebih dekat bersama barisan pemimpin kerajaan bagi membincangkan isu semasa termasuk hal-hal yang melibatkan golongan mahasiswa dan belia.
"Tidak dinafikan memang ada saluran untuk golongan belia dan mahasiswa mengeluarkan pendapat akan tetapi ia lebih menjurus kepada komunikasi satu hala sahaja.
"Perlu ada hubungan dua hala. Alangkah baiknya, jika pemimpin negara dapat turun padang dan duduk bersama mahasiswa dan mendengar keluhan mereka, sekali gus dapat mendekati mereka dengan cara yang lebih santai," katanya.
Mohammad Fikri berkata mahasiswa, yang rata-ratanya merupakan golongan belia, merupakan individu yang bergantung sepenuhnya kepada media sosial sebagai saluran utama bagi mendapatkan sumber berita walaupun kesahihannya diragui.
"Pemikiran mahasiswa ini masih naif untuk membezakan antara perkara yang benar atau sebaliknya. Golongan ini mudah terpengaruh dan terburu-buru membuat keputusan," katanya.
JAGA INTEGRITI
Sementara itu, seorang bekas Yang Dipertua Dewan Perundingan Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) Haja Mydin Abdul Kuthoos, 27, berkata menjaga integriti sebagai seorang mahasiswa amat penting untuk membuktikan kematangan golongan itu berfikir secara rasional dan positif.
"Mahasiswa sering kali dipandang tinggi dan merupakan masyarakat berilmu. Seharusnya mahasiswa menjaga tindak-tanduk kerana segala kelakuan mereka (mahasiswa) menjadi contoh kepada masyarakat sekeliling.
"Misalnya, jika ada demonstrasi jalanan, mahasiswa harus memikirkan impak negatif dan positif jika mereka menyertainya. Fikirlah, apakah kesan perbuatan (demonstrasi jalanan) terhadap keamanan negara? Sepatutnya mereka beri tumpuan kepada pelajaran kerana masa depan negara bergantung kepada mahasiswa itu sendiri," katanya.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching dilapor sebagai berkata mahasiswa bukan sahaja perlu mengawal diri malah harus sentiasa mengamalkan integriti dan mengelak aktiviti tidak bermanfaat yang boleh mencemarkan imej universiti dan institusi-institusi pendidikan tinggi.
Sehubungan itu, Haja Mydin berkata untuk menjadi seorang mahasiswa yang cemerlang mereka harus bersikap berkecuali dan mendisiplinkan diri dengan memupuk nilai-nilai murni untuk mengelakkan daripada melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan prestasi akademik mereka.
"Kalau kita (mahasiswa) tidak berpuas hati pilihlah jalan yang benar, bukan memberontak sesuka hati. Apa yang penting, jika mahu melakukan perubahan ia harus bermula dengan cara yang betul kerana itu melambangkan siapa diri kita di mata masyarakat," katanya.