Mahasiswa perlu berani, fikir lebih luas terokai bidang pekerjaan - Kamalanathan

Bernama
Mei 12, 2015 08:38 MYT
KAMALANATHAN: Mahasiswa perlu berani, fikir lebih luas terokai bidang pekerjaan. -Gambar fail
Golongan mahasiswa perlu berani dan berfikiran lebih luas untuk meneroka bidang pekerjaan, kata Timbalan Menteri Pendidikan II P.Kamalanathan.
Beliau berkata untuk menjadi mahasiswa yang bertanggungjawab, mereka perlu berani mengorak langkah, berbincang dan berkomunikasi.
"Ini kerana ada antara mahasiswa yang sangat pemalu. Keberanian harus ditonjolkan dan saya melihat pelajar UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) khususnya mempunyai keberanian yang dikehendaki itu," katanya ketika berucap merasmikan Pameran Kerjaya Bertumpu Sektor (PSFC) di Dewan Sri Tanjung universiti berkenaan di sini pada Isnin.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dr Mohd Sahandri Gani Hamzah, Pengarah Pusat Transformasi Pelajar dan Komuniti (UCTC) Dr Mazura Mohamad serta Pengurus Industri Akademia Kolaborasi Talent Corp Malaysia Bhd Nik Yazmin Nik Azman.
Kamalanathan turut menyarankan penuntut agar melakukan persiapan bagi memastikan pengetahuan am masing-masing diselaras mengikut keperluan semasa.
Sebagai contoh, Kamalanathan berkata seseorang calon perlu tahu latar belakang sesuatu syarikat sebelum menghadiri proses temuduga.
Pameran dua hari yang bermula hari ini, dianjur UPSI dan UCTC dengan kerjasama Talent Corporation Malaysia Bhd.
Ia merupakan satu inisiatif bagi meningkatkan kesedaran berhubung peluang kerjaya untuk pelajar sekolah menengah, mahasiswa dan graduan.
Pameran itu turut menawarkan platform terbaik kepada syarikat dan majikan untuk mencari bakat berpotensi dalam sektor berkaitan.
Sesi berkongsi maklumat peluang kerjaya untuk diceburi secara 'temu duga jumpa terus' disertai hampir 30 agensi swasta dan majikan terpilih.
Turut diadakan Ceramah Kerjaya oleh pegawai dari Shared Services and Outsourcing Multimedia Development Corporation (MDeC) bertajuk Kerjaya Perkhidmatan Perniagaan Global Tanpa Sempadan, Bengkel Penulisan Resume, Bengkel Tips Hadapi Temuduga, 'Latihan Temu Duga' serta gerai jualan.
Kira-kira 1,000 graduan, pelajar serta orang ramai mengunjungi pameran itu pada hari pertama untuk mendapatkan maklumat berkaitan kerjaya yang bersesuaian dengan kelayakan mereka.
#graduan #kamalanathan #kerjaya #mahasiswa #psfc #Talent Corporation #UPSI
;