Mahasiswa, pensyarah UM berarak bantah Akta Hasutan

T K Letchumy Tamboo
September 10, 2014 14:36 MYT
Perhimpunan juga diadakan sebagai sokongan untuk pensyarah undang-undang mereka Prof Madya Dr Azmi Sharom.
Lebih 500 mahasiswa dan pensyarah Universiti Malaya (UM) hari ini berarak di kampus itu sebagai tanda bantahan terhadap kes mahkamah yang melibatkan pensyarah undang-undang UM, Profesor Madya Dr Azmi Sharom.
Perarakan yang dinamakan ‘Solidarity Walk for Dr Azmi Sharom’ itu, dianjurkan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) dan Persatuan Kakitangan Akademik UM (PKAUM).
Dr Azmi didakwa pada 2 September di bawah Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan pendapat berkaitan krisis menteri besar Perak.
Dr Azmi tiba di bantahan Akta Hasutan
Kebanyakan mahasiswa yang hadir mengenakan pakaian berwarna hitam dan memakai reben biru sebagai menandakan hak untuk bersuara.
Protes bermula di Fakulti Undang-Undang UM dan berakhir di pekarangan perpustakaan UM.
Beberapa ketika sebelum perarakan soliditari bermula, Dr Azmi, yang juga presiden PKAUM, muncul dari dalam Fakulti Undang-Undang disambut dengan sorakan gemuruh.
Mahasiswa yang menyertai perarakan turut melaungkan "Hidup Azmi" sambil membawa pelbagai jenis sepanduk, antaranya dengan slogan "Free Azmi" , "Mansuh Akta Hasutan", "Defend Academic Freedom" dan "Ilmu bukan Hasutan".
Antara tuntutan protes itu adalah:
1. Mengugurkan semua tuduhan terhadap Dr Azmi di bawah Akta HAsutan 1948.
2. Memansuhkan dengan segera Akta Hasutan 1948 yang merupakan peninggalan pemerintahan kolonial yang zalim, kerana ia mengekang kebebasan asasi bersuara secara mutlak.
3. Memastikan semua cabang kerajaan mentadbir urus negara dengan lebih baik dan memberi jaminan terhadap undang-undang dan demokrasi untuk melindungi kebebasan hak asasi bagi semua rakyat Malaysia.
4. Meningkatkan kehormatan dan mendokong prinsip kebebasan akademik, kerana tanpanya, seluruh universiti di Malaysia akan kekal terbelakang di peringkat antarabangsa.
Ketika ucapannya, Dr Azmi melahirkan rasa bangga dengan mahasiswa yang berjuang untuk kebebasan bersuara.
Mahasiswa membawa sepanduk tanda bantah Akta Hasutan
“Saya sudah bekerja sebagai pensyarah selama 24 tahun. Kalau saya jadi peguam, saya sudah boleh beli kereta dan rumah mewah.
“Tetapi tiada wang yang dapat membeli rasa bangga saya apabila melihat para pelajar saya yang memperjuangkan kebebasan bersuara.
“Protes ini bukan tentang Dr Azmi. Ini tentang kebebasan bersuara. Kebebasan untuk semua orang yang dituduh di bawah Akta Hasutan termasuk Presiden ISMA.
“Walaupun saya tidak bersetuju mengenai apa-apa yang dia cakap, saya tetap mempertahankan haknya untuk bersuara.
“Saya rasa kita tiada pilihan. Akta Hasutan tidak boleh ada,” katanya yang iikuti dengan sorakan kuat oleh mahasiswa yang hadir.
Turut hadir untuk memberi sokongan kepada protes itu ialah ahli politik pembangkang termasuk Nurul Izzah Anwar, Gobind Singh Deo, Lim Lip Eng, Teresa Kok dan Teo Nie Chi.
Sebelum bersurai, lagu Negaraku dinyanyikan dan Jalur Gemilang dikibar separuh tiang sebagai tanda protes.
Dr Azmi, 45, dituduh mengikut Seksyen 4 (1) (b) dan 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda RM5,000, atau kedua-duanya sekali.
Dr Azmi mengaku tidak bersalah atas dakwaan berhubung artikel bertajuk "Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told" (Ambil jalan krisis Perak, selesaikan segera kebuntuan Selangor, Pakatan diberitahu), diterbitkan sebuah portal berita pada 14 Ogos.
#akta #hasutan #pensyarah #undang-undang #Universiti Malaya (UM)
;