Mahasiswa, isteri orang antara dicekup khalwat JAIM

Astro Awani
Disember 2, 2022 07:50 MYT
Kesemua mereka yang ditahan dalam operasi yang berlangsung kira-kira tiga jam itu, berusia antara 20 hingga 40 tahun. - Astro AWANI
MELAKA: Terpaksa berehat di hotel kerana ingin mengambil jubah konvokesyen dan mengaku masih bujang sedangkan berstatus isteri orang.
Itu antara alasan diberikan enam pasangan yang ditahan sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam operasi cegah maksiat di sebuah hotel di Ujong Pasir, Melaka awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat berkata, kesemua mereka yang ditahan dalam operasi yang berlangsung kira-kira tiga jam itu, berusia antara 20 hingga 40 tahun.
Katanya, lebih mengecewakan apabila majoriti yang ditahan merupakan mahasiswa dan graduan universiti awam termasuk memberi alasan terpaksa bermalam bersama pasangan kerana ingin mengambil jubah konvokesyen bagi menghadiri istiadat berkenaan Selasa ini.
"Jadi alasan itu tidak munasabah kerana selepas mengambil jubah, mungkin penat, mereka sempat lagi berehat. Mungkin pasangan ini telah pun ada huhungan kerana saling mengenali antara mereka.
"Pengakuan dibuat daripada kesemua mereka, mereka mengaku belum lagi ada pasangan sah. Kesemua pasangan terlibat telah dihantar ke pejabat JAIM untuk dibuat siasatan selanjutnya," katanya.
Mengulas lanjut, ujar Che Sukri, terdapat juga satu tangkapan melibatkan wanita yang masih berstatus isteri orang berusia 37 tahun bersama pasangannya berusia 40 tahun.
Katanya, wanita itu pada awalnya mengaku konon sudah bercerai sejak empat tahun lalu sebelum semakan pihak berkuasa mendapati dia masih berstatus isteri orang manakala teman lelakinya dikatakan dalam proses penceraian.
Jelasnya, semua pasangan yang ditahan kemudian dibawa ke pejabat JAIM untuk siasatan mengikut Seksyen 53 (1) dan (2) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau 24 bulan penjara atau kedua-duanya sekali.
Selain itu katanya, JAIM turut mempergiatkan operasi pencegahan khalwat dengan kekerapan dua kali seminggu selain menasihati orang ramai sama ada rakyat negeri ini mahupun pelancong luar negeri untuk tidak menjadikan Melaka sebagai ‘sarang maksiat’.
#tangkap khalwat #JAIM #jubah konvokesyen #Che Sukri Che Mat
;