Mahasiswa baharu UPM kongsi perasaan masuk universiti
Isabelle Leong
September 1, 2019 19:18 MYT
September 1, 2019 19:18 MYT
Hari ini adalah hari yang berbeza buat Wan Ahmad Amiruladha Wan Mahzir.
Mahasiswa baharu Universiti Putra Malaysia (UPM) itu sedikit gugup dan takut untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan Kesusasteraan Melayu di univerisiti tersebut.
Apatah lagi, Wan Ahmad Amiruladha yang berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU).
Baginya, hidup tergolong dalam kalangan OKU tidak terhenti tanpa boleh melangkah ke gedung ilmu seperti UPM sekali gus bersemangat menggenggam segulung ijazah.
“Sejujurnya, perasaan saya bermacam-macam. Ini merupakan pengalaman pertama saya menjejakkan kaki ke universiti.
“Jadi perasaan takut itu memang ada dan saya memang terharu kerana layak menyambung pelajaran ke UPM,” kata Wan Ahmad yang ingin menjadi seorang guru Sastera apabila tamat pengajian kelak.
Bukan setakat mahu menjadi seorang guru, anak kelahiran Pahang ini juga mempunyai cita-cita besar iaitu mahu mencuba nasib menjadi atlet paralimpik.
Malah, Wan Ahmad Amiruladha berhasrat menyertai kelab-kelab kokurikulum yang ada di UPM terutama sukan Bola Sepak dan Ping Pong.
“Saya tiada pengalaman dalam sukan paralimpik tetapi di kampung, saya main apa-apa sahaja sukan yang ada seperti ping pong, bola sepak dan badminton,” tambahnya.
Menurut Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Dr Aini Ideris, universiti melalui Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) memperuntukkan RM2 juta pada tahun ini untuk menyediakan bantuan kepada pelajar yang memerlukan termasuk yuran pengajian dan bantuan khas kepada pelajar Orang Kurang Upaya (OKU).
“Bagi pelajar OKU, terdapat peruntukan khas termasuk tambang datang ke UOM akan diberikan kepada mereka yang layak.
“Kami sediakan van yang khusus buat pelajar-pelajar OKU yang memerlukannya. Van khusus tersebut adalah lengkap untuk membantu mereka untuk memudahkan pergerakan mereka,” kata Aini apabila ditemui wakil media di UPM pada Ahad.
Dalam pada itu, mahasiswa baharu Atlet, Muhammad Abdul Azim Othman yang bakal mewakili Malaysia dalam Sukan SEA 2019 di Filipina berkongsi keterujaan melanjutkan pelajaran di UPM.
“Banyak rakan dan senior saya yang belajar di UPM dahulu kerana UPM mengalu-alukan atlet mengambil jurusan pilihan mereka.
“Saya tidak langsung berasa gementar. Saya cuma sangat teruja kerana dapat tengok tempat pengajian tinggi saya di mana saya akan belajar buat empat tahun. Saya memang berasa sungguh gembira dan teruja,” ujar Muhammad Abdul.
Selain itu, mahasiswa Orang Asli, Haiza Samad, berkongsikan perasannya yang bercampur baur kerana ini merupakan kali pertama dia berpisah dengan keluarganya yang menetap di Johor.
“Siapa yang tidak teruja? Tetapi perasaan takut-takut itu memang ada, kerana ini merupakan kali pertama saya berpisah dengan keluarga.
“Apabila saya melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam, saya tidak bersekolah asrama. Oleh itu, jarang kami berpisah,” jelas Haiza.
Antara mereka yang mendaftar pada sesi akademik ini termasuk 11 OKU, 6 Orang Asli dan 90 atlet yang segelintirnya mewakili negara dalam Sukan SEA 2019 di Filipina.
#atlet
#Dr Aini Ideris
#keterujaan
#OKU
#Orang Asli
#orang kelainan upaya
#Pusat Pengurusan Wakaf Zakat dan Endowmen
#Sukan SEA 2019
#Universiti Putra Malaysia
#UPM
#WAZAN