#MahalGila: 'Minyak makin murah tapi harga air Milo tak pula berubah' - Dr Najmil

Wan Syamsul Amly
Januari 26, 2016 12:14 MYT
DR NAJMIL: Saya harap peniaga makanan terutamanya menurunkan semula harga jualan mereka. - Foto Instagram
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diminta memperbanyakkan operasi kawalan harga terutama barang berkaitan makanan yang dinaikkan satu masa dahulu dengan alasan peningkatan harga minyak.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, peniaga sendiri perlu sentiasa cakna terhadap penurunan harga minyak selain tidak terlalu tamak untuk mengaut keuntungan mudah.
"Saya harap peniaga makanan terutamanya menurunkan semula harga jualan mereka. Semua orang sedia maklum penurunan harga minyak namun harga bahan mentah masih di takuk lama. Minyak makin murah tetapi harga air Milo tidak pula berubah.
"Situasi berbeza semasa kenaikan haga minyak satu masa dahulu. Tidak sampai sehari selepas pengumuman harga minyak, semua kedai makan terus menaikkan harga jualan mereka, jadi mengapa mereka tidak turunkan semula harga makanan atau minuman selepas kejatuhan harga minyak kini?
"Usaha KPDNKK dalam isu ini harus dipuji. Orang ramai juga diminta bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membuat aduan jika mengetahui ada peniaga yang masih berdegil," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Dr Najmil mengulas mengenai jualan air Milo ais di Shah Alam yang mencecah harga RM5.90 sementara sebuah lagi restoran mengenakan Milo ais pada harga RM6.70 dan air suam RM0.80.
Kedua-dua restoran itu sudah diberi tunjuk sebab oleh KPDNKK Selangor selain notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Belenggu harga minyak mentah dunia berterusan apabila harga komoditi itu pertama kali jatuh ke paras USD29 setong minggu lalu.
Kemasukan Iran ke dalam pasaran global menyaksikan susutan komoditi itu ke paras terendah dalam tempoh 13 tahun.
Harga minyak mentah Brent kemudian susut ke USD28 dolar setong pada Sabtu susulan pemansuhan sekatan ekonomi ke atas Iran oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Dalam pada itu kata Dr Najmil, usaha netizen yang berkongsi pengalaman tentang caj mahal yang pernah mereka hadapi di premis makanan dilihat salah satu langkah terbaik untuk menyedarkan peniaga.
"Netizen melapor melalui media sosial dan mereka boleh berkongsi maklumat mengenai lokasi kedai mahal untuk rujukan kawan-kawan serta pihak penguatkuasa mengambil tindakan," jelasnya.
##MahalGila #Brent #harga makanan mahal #milo ais #minyak mentah #petrol
;