MAHA2016 kombinasi hiburan dan agromakanan
Mariah Ahmad
November 18, 2016 17:51 MYT
November 18, 2016 17:51 MYT
Ekspo agromakanan terbesar negara, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) bakal menampilkan satu kelainan tahun ini dengan konsep 'agrotainment'.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata satu festival muzik "Rhythm of the Farmers" (ROTF) bakal diadakan ketika acara MAHA2016 berlangsung.
"Konsep 'agrotainmen' ini adalah satu cara menarik masyarakat kepada pertanian menerusi hiburan. Ini adalah kerana pengeluaran makanan perlu dilipatgandakan supaya kita lebih bersedia untuk menyokong pembangunan negara yang lebih pesat,"katanya dalam satu sidang media di D'lereng MAEPS, di sini hari ini.
Beliau juga mensasarkan penglibatan golongan belia meningkat kepada 40 peratus berbanding tahun lepas.
"Kita mahu lebih ramai penglibatan pengusaha terutama golongan muda," katanya.
Jelasnya lagi, para pengunjung boleh menikmati semua persembahan dalam ROTF secara percuma.
Antara barisan artis popular yang akan melakukan persembahan termasuklah Akim & The Majistret, Yazid Search, Ramli Sarip, Abiet G Adie, Man Bai, Projector Band, Khalifah, Wali Band, dan Sakura Band.
Selain festival ROTF yang boleh dinikmati secara percuma, beliau berkata bagi menyemarakkan lagi elemen 'agrotainmen' MAHA 2016, beberapa tarikan lain turut diadakan seperti Kampung Durian Runtuh Upin dan Ipin, Kampung Mak Cun serta tapak perkhemahan AgroYouth Camp.
MAHA 2016 bakal berlangsung bermula 1 sehingga 11 Disember nanti di D'lereng MAEPS Serdang.