’Maha kaya’ masih mampu bayar cukai dividen, petrol tanpa subsidi - Pakar

Irfan Faruqi
Oktober 21, 2024 21:47 MYT
Ahmed Razman berkata, tindakan kerajaan untuk mengenakan cukai dividen dan menarik subsidi petrol bagi golongan ini adalah murni dalam konteks merapatkan jurang ekonomi dalam kalangan rakyat Malaysia. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Golongan maha kaya yang dirujuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2025 masih mampu untuk menampung perbelanjaan peribadi meskipun selepas dikenakan cukai tambahan dan dikecualikan daripada menerima manfaat subsidi.

Ringkasan AI
  • Cukai Dividen dan Subsidi Petrol: Kerajaan akan mengenakan cukai dividen 2% ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 dan menarik subsidi petrol bagi golongan maha kaya untuk merapatkan jurang ekonomi. Kemampuan Golongan Maha Kaya: Golongan maha kaya masih mampu menampung perbelanjaan peribadi walaupun selepas dikenakan cukai tambahan dan dikecualikan daripada subsidi. Kesan Ekonomi: Langkah ini perlu dilaksanakan dengan berhati-hati untuk mengelakkan kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi dan mengelakkan tindakan elak cukai atau penghijrahan ke luar negara oleh golongan maha kaya.

Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, tindakan kerajaan untuk mengenakan cukai dividen dan menarik subsidi petrol bagi golongan ini adalah murni dalam konteks merapatkan jurang ekonomi dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Mereka yang menjalankan aktiviti jual beli saham dan meraih dividen tinggi adalah kumpulan benar-benar mempunyai banyak lebihan pendapatan. Disebabkan itu, cukai dua peratus (bagi pendapatan dividen melebihi RM100,000) adalah nilai yang mampu dibayar.
“Sama juga dengan subsidi petrol bersasar, kumpulan T15 yang secara purata berbelanja RM500 hingga RM600 untuk petrol, tetapi jika dikecualikan subsidi itu, maka perbelanjaan petrol ini mungkin akan meningkat kepada RM800 hingga RM900 dan mereka masih mampu untuk membayarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
’Maha kaya’ masih mampu bayar cukai dividen, petrol tanpa subsidi - Pakar
Menurutnya, keputusan untuk mengenakan cukai dividen dan penyasaran subsidi petrol perlu dilihat secara bersama dengan usaha kerajaan meningkatkan gaji minimum.
Beliau juga menegaskan, semua dasar itu untuk merapatkan jurang ekonomi antara rakyat.
Pada masa sama, Ahmed Razman turut membayangkan kesan jika kerajaan tidak melaksanakan dasar itu dengan berhati-hati.
Jelasnya, ia mungkin akan menjejaskan pertumbuhan dan aktiviti ekonomi dalam negara yang melibatkan kumpulan ‘maha kaya’ berkenaan.
“Persoalannya di sini, adakah tindakan tersebut bersifat regresif iaitu sama ada kumpulan maha kaya ini akan buat tindakan yang mungkin melakukan strategi tertentu untuk mengelak daripada cukai-cukai ini atau berhijrah ke luar negara,” soalnya.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada Jumaat lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan cadangan memperkenalkan cukai dividen dua peratus keatas pendapatan dividen melebihi RM100,000 yang diterima oleh pemegang saham individu bermula pada tahun taksiran 2025.
Jelas Anwar, pertimbangan akan diberikan bagi mengecualikan pendapatan dividen daripada simpanan Kerajaan seperti KWSP, amanah saham di bawah PNB dan pendapatan dividen dari luar negara.
Pada pembentangan sama, Ahli Parlimen Tambun itu turut menjelaskan, subsidi petrol dan pendidikan bagi golongan T15 juga akan disasarkan semula kepada menambah baik aspek kesejahteraan lain bagi rakyat yang memerlukan.
#Belanjawan 2025 #T15 #cukai dividen #maha kaya
;