MAHA 2024 tampilkan konsep 'Best of the Best' di Dewan A
Amzar Alif
September 20, 2024 22:36 MYT
September 20, 2024 22:36 MYT
SERDANG: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 memperkenalkan konsep 'Best of the Best' di Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Inisiatif itu bertujuan memudahkan pengunjung menikmati pameran terbaik MAHA dalam masa dua jam, tanpa perlu menjelajah kesemua enam zon pameran yang ada.
Menurut Setiausaha Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani (BIMAT), Datuk Muhammad Ammir Haron, , Dewan A direka khas untuk pengunjung yang ingin merasai pengalaman pameran dengan pantas dan menyeluruh.
"Ruang ini memberikan pengalaman seakan berada di taman tema dengan pelbagai aktiviti interaktif yang menarik. Kebanyakan pameran kita ini bukan saja informatif tetapi juga interaktif,” katanya.
Aktiviti interaktif tersebut termasuk simulasi akuakultur dan bot, serta simulasi mesin penuai yang menarik perhatian pengunjung dari pelbagai golongan, terutama ibu bapa dan anak-anak.
Tambahnya lagi, Agro Kids Zone telah disediakan sebagai zon khas untuk kanak-kanak bermain, membolehkan ibu bapa meluangkan masa melihat pameran dengan lebih santai.
Dewan A juga menampilkan salah satu pameran teknologi pertanian terbesar di MAHA 2024, termasuk 23 pameran daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang disusun mengikut kategori kandungan dibawa oleh setiap agensi.
“Kita adalah antara pameran Argo Technology yang terbesar. Kalau masuk bahagian hadapan, kita boleh lihat 23 pameran daripada pelbagai agensi seperti MCMC, MDEC, MOSTI termasuk KPKM sendiri seperti teknologi terbaru yang kita gunakan dalam bidang pertanian terutamanya dron dan juga spesis ternakan yang baru,” ujarnya.
Sebuah lagi tarikan utama di Dewan A adalah segmen Agro Finance, yang menawarkan maklumat mengenai pembiayaan dan geran yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan dan bakal usahawan.
Selain itu, segmen Agro Downstream juga menampilkan kajian-kajian dari MARDI yang sedia untuk dikomersialkan.
Dalam tempoh lapan hari berlangsungnya pameran, Dewan A telah mencatatkan kehadiran lebih 150,000 pengunjung, dengan jumlah jualan hampir RM2 juta.
MAHA 2024 terus menarik perhatian ramai dengan pelbagai inovasi dan konsep baharu, menjadikannya destinasi wajib bagi peminat pertanian dan agropelancongan di Malaysia.