MAHA 2024: Petani Sarawak wajar pamer teknologi baharu dalam pengeluaran padi, nanas
Astro Awani
Ogos 12, 2024 19:39 MYT
Ogos 12, 2024 19:39 MYT
MIRI: Pengusaha produk pertanian dari Sarawak, terutamanya pengusaha padi dan nanas disaran menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia atau MAHA 2024 yang akan berlangsung September depan di MAEPS, Serdang.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penyertaan mereka kelak selari dengan kebangkitan dua jenis produk tani ini di Sarawak, yang dilihat semakin terkehadapan di negara ini.
“Kita juga meminta pengusaha-pengusaha di Sarawak dapat bersama di MAHA nanti, terutama setelah di sini berlaku kebangkitan dua bidang yang tampak jelas terkehadapan iaitu padi dan nanas.
“Jadi kita harap peserta daripada Sarawak akan turut sama supaya Sarawak tidak sahaja dikenali sebagai negeri pengeluar minyak dan balak, bahkan menjadi negeri utama dari strategi keterjaminan makanan pada masa yang akan datang.
Menjelas lanjut, kebangkitan Sarawak sebagai antara pengeluar padi dan beras utama negara selepas ini cukup menarik dan dramatik, memandangkan komoditi tersebut antara elemen penting dalam keterjaminan makanan negara.
“Saya sebut tadi beras adalah soal security, keselamatan makanan. Kenapa kita berbelanja begitu besar dalam Kementerian Pertahanan, apa untungnya?
“Tetapi ia soal keselamatan. Begitu juga soal padi ini. Kita akan berbelanja banyak tetapi ia penting untuk keselamatan, keterjaminan makanan.
"Ini yang saya tekankan dalam setiap ucapan saya supaya jangan adalah orang yang menimbulkan…apalah padi ini diberikan terlalu banyak (peruntukan).
Katanya, apabila India menyekat sedikit sahaja eksport beras putih ke Malaysia, negara ini telah menghadapi masalah besar.
“Sebab itu persediaan kita untuk mengcukupkan beras di negara ini, memang kita kena usahakan secara bersungguh-sungguh,“ katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Program Ramah Mesra Madani Bersama Komuniti Nelayan, di sini.
Program tersebut menamatkan siri Jelajah Road To Maha 2024 @Sarawak selama empat hari bermula 8 hingga 11 Ogos lalu, yang melibatkan negara Brunei Darussalam, Lawas, dan berakhir di Miri.
Sementara itu, menurut Ketua Sekretariat MAHA, Zurihanmi Zakariya, promosi kali ini bertujuan untuk menarik penyertaan dan kehadiran penduduk Sarawak dan Brunei Darussalam untuk sama-sama hadir ke MAHA.
“Jemputan yang kita kemukakan kepada Kerajaan Brunei disambut dengan baik. Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan Brunei bukan sahaja komited untuk hadir ke MAHA 2024, malah memberi jaminan untuk mengambil bahagian dalam pameran pada September nanti.
Katanya, program Road to Maha 2024 @Sarawak turut mengadakan beberapa aktiviti di bandar Lawas seperti melawat Stesen Ternakan Kerbau di Meragang dan menyantuni penduduk di daerah lawas, dengan mengadakan Jualan Agro Madani di Tamu Lawas.
Jelajah ini juga, jelasnya, melibatkan lawatan ke TG Agro Fruit Sdn Bhd, SM Ecofarm, dan Watiza Agrofarm sebelum menghadiri Karnival Mini MAHA di bandar raya ini sambil menyampaikan geran agro pelancongan dan pelbagai geran bantuan lain.
Jelas Zurihanmi lagi, menjadi harapan pihaknya agar penyertaan Sarawak dalam MAHA pada kali ini lebih meriah, dan melepasi 50 peratus daripada penyertaan pada tahun sebelumnya, kerana kepelbagaian produk yang ada di wilayah itu.