Pengurus Besar NAFAS Muhammad Faris Arriffin berkata penglibatan NAFAS pada penganjuran MAHA edisi ke-100 itu akan menyajikan pelbagai aktiviti antaranya pameran, jualan produk dan inovasi terbaik seperti produk makanan dan baja jenama Peladang, pelbagai input pertanian serta jentera pertanian.
"Penglibatan NAFAS pada MAHA 2024 membuktikan komitmen dalam memajukan sektor pertanian negara sejajar dengan objektif keterjaminan makanan yang berterusan.
"Pameran ini turut memberi peluang kepada NAFAS untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memperkenalkan penyelesaian pertanian yang lebih efektif dan lestari," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Meraikan 100 tahun penganjuran dengan tema Harvesting Tomorrow Where Dreams Blossom, MAHA 2024 akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang dekat sini bermula esok hingga 22 Sept ini.
MAHA 2024 dijangka menarik lebih tiga juta pengunjung sepanjang 12 hari berlangsung.
Sehubungan dengan itu, Muhammad Faris mengajak orang ramai untuk tidak melepaskan peluang singgah ke reruai NAFAS di segmen Agro Seed di Dewan A, MAHA Go Global (Hall C), Kingdom of Agrofood (Laman Tiba 1), Laman Padi, Laman Mekanisasi dan NAFAS Cube.
Beliau berkata NAFAS turut membuka kaunter perkhidmatan Dana Peladang Kebangsaan di segmen Peladang Outlet di Dewan A.
"Orang ramai juga berpeluang menyertai pertandingan memancing di NAFAS Cube. Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung di MAHA 2024 seperti jualan 'happy hour', uji rasa produk makanan jenama Peladang, aktiviti santai dan permainan interaktif bersama pengunjung di segmen penglibatan NAFAS.
"Jangan lepaskan peluang anda, jom beramai-ramai kita ke MAHA 2024 dan melihat sendiri pelbagai aktiviti yang pastinya akan memberi pengalaman yang unik dalam penganjuran MAHA pada kali ini. Jumpa anda di sana!," katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai penglibatan NAFAS di MAHA 2024, orang ramai boleh mengikuti platform media sosial rasmi NAFAS di Facebook, Instagram, X, Threads, dan TikTok - @nafashq.
-- BERNAMA