MAHA 2024 menggagas peluang dan inovasi pertumbuhan pertanian global

Amzar Alif
Jun 11, 2024 17:32 MYT
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Majlis Peluncuran Pameran dan Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di MAEPS, Serdang pada Isnin. -Gambar KPKM
Memasuki satu abad penganjurannya, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) tahun ini bakal menjadi medan mengumpulkan sektor pertanian berteknologi tinggi di peringkat global yang mensasarkan penyertaan lebih 29 buah negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah itu berupaya meningkatkan produktiviti dan menentukan arah baharu buat sektor agrikultur Malaysia.
Menurutnya, elemen teknologi terkini turut mampu membina daya tahan sektor keterjaminan makanan serta menarik minat golongan muda menjadikan pertanian sebagai sumber pendapatan utama.
“MAHA memainkan peranan penting dalam memajukan teknologi pertanian, memperkenalkan inovasi, dan menggalakkan kerjasama antara pelbagai pihak dalam industri pertanian khususnya bagi melestarikan keterjaminan makanan negara.
“Melalui pameran ini juga, pengunjung dan pihak yang berkepentingan akan dapat merasai pengalaman secara langsung untuk aplikasi inovasi seperti pertanian pintar, penggunaan data raya dan automasi boleh diaplikasikan dalam operasi harian mereka.
“Kerana tahun ni kita mahu lebih menumpukan kepada soal kecerdasan buatan (AI) dan juga Internet benda (IoT) dan serta ke arah pertanian moden,” katanya pada majlis peluncuran MAHA 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada Isnin.
Pada edisi kali ini tumpuan utama memfokuskan MAHA Go Global yang bakal menjadi platform berharga buat profesional industri membina rangkaian, belajar dan meneroka peluang perniagaan baharu dalam usaha meningkatkan eksport serta inovasi.
"Dengan penyertaan pelbagai delegasi dan pelabur antarabangsa, adalah diharapkan menerusi inisiatif ini produk-produk keluaran tempatan akan dapat menembusi pasaran global dan seterusnya meningkatkan pendapatan petani dan pengusaha tempatan,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Sekretariat MAHA 2024, Zurihanmi Zakariya berkata terdapat pelbagai iniasitif baharu yang bakal diketengahkan pada edisi kali ini demi mencapai sasaran kehadiran seramai tiga juta pengunjung.
“Seperti kita sedia maklum MAHA 2024 bakal berlangsung pada musim cuti sekolah jadi kita ambil sempena cuti sekolah berkenaan untuk mencapai sasaran KPI tersebut.
“Oleh itu, antara pendekatan-pendekatan baharu yang kita akan bawa dan dirasakan mampu menarik minat generasi muda seperti Rhythms of Farmers iaitu persembahan pentas yang akan melibatkan artis-artis terkenal tanah air akan diadakan semasa MAHA 2024
“Kita juga akan ada elemen yang berkaitan dengan Magical at Night dan 3D Water Show yang akan dilangsungkan pada setiap malam, serta program-program yang melibatkan tarikan kanak-kanak,” ujarnya.
Bertemakan "Menuai Harapan Membina Masa Hadapan” MAHA 2024 bakal diadakan bermula 11 hingga 22 September ini di MAEPS, Serdang dengan sasaran potensi pelaburan sebanyak RM6 billion dan menjangkakan potensi perdagangan sehingga RM40 juta.
Setakat ini juga sudah berlangsung beberapa program promosi seperti MAHA Fun Run 2024 serta Jualan Setahun Agro Madani yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali.
“Promosi MAHA ini telah pun bermula agak awal, di mana kita telah berjumpa dengan kedutaan, kerajaan-kerajaan negeri, serta persatuan dan kita telah kenal pasti syarikat-syarikat dalam negara yang mempunyai potensi dan keupayaan yang tinggi.
“Mereka ingin pamer keupayaan teknolgi masing-masing dan ini perkembagan positif dan memberi manfaat tinggi kepada pemegang taruh industri dalam bidang pertanian," katanya.
МАНА telah diperkenalkan sejak 1923 dan МАНА 2022 sebelum ini merekodkan kehadiran lebih 1 juta pengunjung dengan 33 Memorandum Persefahaman (MoU) serta Memorandum Perjanjian (MoA) bernilai RM5.64 bilion ditandatangani.
#MAHA 2024 #Datuk Seri Mohamad Sabu #Ketua Sekretariat MAHA 2024 #Zurihanmi Zakariya #Ketua Setiausaha KPKM #Datuk Lokman Hakim Ali
;