MAHA 2024: Dari akuakultur ke megafauna, Laman Agrofood Perikanan janjikan tarikan hebat buat anda

Amzar Alif
September 16, 2024 11:20 MYT
Adnan (dua, kanan) menerangkan konsep Galeri Akuakultur kepada Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Datuk Seri Ahmad Jailani Muhamed Yunus (dua, kiri) yang datang melawat ke Laman Agrofood Perikanan MAHA 2024. -Gambar Jabatan Perikanan
LAMAN Agrofood Perikanan, yang merupakan sebahagian daripada Pameran Pertanian, Hortikultur, dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024, menjadi antara tarikan utama buat pengunjung yang ingin menerokai dunia perikanan dengan lebih dekat.

Ringkasan AI
  • Laman Agrofood Perikanan di MAHA 2024 mempamerkan pelbagai jenis hidupan akuatik dan mengetengahkan kemajuan serta inovasi terkini dalam sektor perikanan.
  • Galeri Akuakultur yang telah diperbaharui, Galeri Samudera dengan aktiviti interaktif, dan Galeri Dunia Santuari Ikan Sungai yang menampilkan spesies ikan air tawar tempatan.
  • Pameran teknologi seperti Integrated Multi Trophic Aquaculture (IMTA), sistem ternakan bioflok, dan inkubator pembenihan ikan untuk memacu industri perikanan ke hadapan.

Laman ini bukan sahaja mempamerkan pelbagai jenis hidupan akuatik, tetapi juga mengetengahkan kemajuan dan inovasi terkini dalam sektor perikanan, menjadikannya platform pembelajaran yang sesuai untuk semua peringkat umur.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain, Laman Agrofood Perikanan tahun ini telah diperbaharui dengan pelbagai elemen menarik untuk memberikan pengalaman yang lebih interaktif dan mendidik kepada pengunjung.
"Sempena MAHA 100 tahun, Laman Perikanan juga mengalami perubahan dengan menampilkan program-program yang melibatkan inovasi dalam sektor perikanan, teknologi, dan juga modenisasi.
“Kita juga mengetengahkan aktiviti akuakultur yang ada di Laman Perikanan, termasuk galeri khusus berkaitan tumbuhan akuatik dan juga ikan hiasan," ujarnya.
Salah satu tarikan utama di Laman Agrofood Perikanan ialah Galeri Akuakultur yang telah mengalami transformasi besar daripada galeri ikan hiasan kepada sebuah galeri yang lebih menyeluruh.
Galeri ini mempamerkan pelbagai spesies ikan air tawar dan marin, termasuk ikan hiasan, rumpai laut, serta model pembenihan dan ternakan ikan.
Bagi menarik minat kanak-kanak dan golongan muda, galeri ini turut menyediakan touch pool marin yang membolehkan pengunjung berinteraksi secara langsung dengan hidupan laut seperti Gamat, Belangkas, dan Tapak Sulaiman.
Selain Galeri Akuakultur, Laman Agrofood Perikanan turut memperkenalkan Galeri Samudera, yang menampilkan aktiviti interaktif seperti simulator memancing dan pameran ikan tuna segar.
Pengunjung berpeluang melihat secara langsung ikan tuna bersaiz besar yang dibawa khas dari Labuan dan menikmati demonstrasi slicing serta uji rasa tuna oleh cef berpengalaman.
Galeri Dunia Santuari Ikan Sungai pula menawarkan pengalaman menerokai dunia ikan air tawar tempatan dan spesies asing yang ditemui di perairan negara.
Terdapat pelbagai spesies ikan asli seperti Kelah, Temoleh, dan Baung Kelulang serta pameran ikan betta yang kini terancam.
Dalam pada itu, Adnan juga mengalu-alukan kehadiran golongan muda dan belia untuk terlibat dalam aktiviti di Vivarium, yang memperkenalkan cara menghias tumbuhan akuatik dan ikan hiasan kecil dalam balang atau bekas yang minimalis.
"Melalui konsep ini, kita menggalakkan belia untuk menceburkan diri dalam bidang ini dan terlibat dalam perniagaan yang boleh memberikan pulangan yang baik kepada pengusaha-pengusaha yang berminat," tambah beliau.
Pengunjung turut berpeluang menyaksikan pameran tulang paus Sei bersaiz mega dan pameran penyu hidup di Pavilion Megafauna selain memancing udang galah di kolam pancing.
Pelbagai teknologi dan inovasi juga dipamerkan di Laman Agrofood Perikanan tahun ini termasuk Integrated Multi Trophic Aquaculture (IMTA), sebuah model ternakan pelbagai spesies yang mengintegrasikan pelbagai spesies organisma akuatik pada tingkat trofik yang berbeza dalam satu kawasan ternakan.
"Tahun ini, kita membawa pelbagai teknologi baharu yang mampu memacu industri perikanan kita ke hadapan. Ini termasuk teknologi sistem ternakan bioflok dan inkubator pembenihan ikan yang dipamerkan untuk pengetahuan umum," jelas Datuk Adnan.
Jadi, jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi Laman Agrofood Perikanan di MAHA 2024 dari 11 hingga 22 September ini di MAEPS, Serdang, Selangor.
#MAHA 2024 #Laman Agrofood Perikanan #Datuk Adnan Hussain #perikanan #akuakultur
;