MAHA 2024: Bot berhias warnai majlis ramah mesra menteri bersama warga Sandakan

Radhi Muslim
Julai 15, 2024 13:37 MYT
Mohamad melambai tangan kepada peserta perarakan bot berhias sewaktu menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Sandakan sempena 'Road To MAHA' di Sandakan, malam tadi. - Foto Astro AWANI
SANDAKAN: Majlis ramah mesra warga Sandakan bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu diserikan dengan perarakan bot berhias di perairan Sandakan, malam tadi.
Sebanyak 22 buah bot melibatkan kira-kira 40 orang nelayan terlibat menjayakan perarakan berkenaan.
Ketua Sekreteriat MAHA 2024, Zurihanmi Zakaria berkata, perarakan bot berhias itu salah satu pengisian program bagi menteri beramah mesra dengan nelayan, seterusnya menghargai jasa mereka.
Katanya, selain itu, majlis ramah mesra tersebut turut diserikan dengan pelbagai inisiatif lagi.
"Malam ini kita teruskan dengan 'rhythm of farmers', selain daripada penyampaian dan juga pemberian bantuan yang telah dikenal pasti oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan kepada kumpulan sasar yang telah kita tentukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis ramah mesra tersebut.
Pada majlis itu, Mohamad turut menyerahkan replika cek Program Pemerkasaan Usahawan Peladang tahun 2024, membabitkan 27 orang usahawan, bernilai lebih RM1.41 juta.
Sebanyak RM824,337.00 lagi peruntukan diserahkan melalui Program Pemilikan Jentera Kecil dan Sederhana tahun 2024 melibatkan 211 peserta.
Mohamad turut menyerahkan replika cek bernilai RM1.7 juta melalui dana pembiayaan Agrobank melibatkan lapan usahawan.
Menurut Zurihanmi, majlis itu bermula pada waktu petang dengan pelbagai pengisian termasuk pameran dan jualan Agro MADANI.
Secara keseluruhan, pihaknya amat berpuas hati, khususnya dengan sambutan masyarakat terhadap majlis terbabit.
"Secara keseluruhan, program kita di Sabah hari ini mencapai objektif yang ditetapkan.
"Kalau kita tengok sambutan yang kita terima di setiap destinasi atau pun pit stop kita, amat menggalakkan, terutamanya di bandar Sandakan.
"Seawal pagi sehingga ke malam kita melihat acara yang kita jalankan dipenuhi dengan kehadiran pengunjung dan juga penduduk setempat," katanya.
Terdahulu, majlis ramah mesra itu diadakan sebagai salah satu program sempena Jelajah Road to MAHA 2024 Sabah yang memasuki hari kedua.
Sebelum ini, ia dimulakan dengan konvoi menteri dari Kota Kinabalu ke Kota Belud, Kundasang, Ranau dan Telupid.
Sandakan menjadi lokasi terakhir Road to MAHA 2024 Sabah sementara acara penutup diadakan pagi ini di Dataran Elopura, di sini, yang turut dirasmikan Mohamad.
#bot berhias #MAHA 2024 #Mohamad Sabu #Sandakan
;