SERDANG: Sumbangan sektor agromakanan sebanyak 10.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi tempoh suku pertama 2024, mencerminkan petanda baikkepada pertumbuhan ekonomi negara, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Mohamad berkata sumbangan itu direkodkan melalui tiga sub-sektor agromakanan yang meliputi 3.1 peratus sektor pertanian, 2.2 peratus sektor pembuatan, dan 5.6 peratus sektor perkhidmatan.

"Pencapaian itu turut membuktikan bahawa strategi pengurusan bekalan makanan membuahkan hasil dan perlu diperkukuhkan demi kestabilan sistem makanan negara.

"Ia amat signifikan dalam usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara," katanya dalam ucapan aluan pada majlis perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024, yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

MAHA 2024 edisi ke-100 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini telah bermula sejak Rabu hingga 22 Sept ini dan menyasarkan kehadiran tiga juta pengunjung serta RM40 juta nilai jualan langsung.

Mengenai MAHA 2024, Mohamad berkata penganjuran ekspo tahunan itu akan menjadi platform penting yang menekankan aspek kelestarian dan inovasi bagi sektor pertanian Malaysia.

Beliau berkata fokus utama pameran itu ialah mempromosikan amalan pertanian yang lestari selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), untuk memastikan sumber alam semula jadi dapatdipelihara dan dimanfaatkan oleh generasi masa depan.

Mohamad berkata MAHA 2024 turut berperanan memperkukuhkan modal insan melalui inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam sektor pertanian, selaras dengan konsep MADANI.

"Ini bertujuan melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan mampu mengendalikan teknologi moden serta meningkatkan daya saing Malaysia dalam sektor pertanian global," katanya.

Mohamad berkata MAHA 2024 juga menjadi medan untuk memperkenalkan teknologi pintar sepertiInternet benda (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan automasi dalam pertanian yang dijangka dapat meningkatkan produktiviti dan efisiensi sektor pertanian.

Beliau berkata bagi tempoh tiga hari pertama MAHA 2024, sebanyak 36 memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani dengan nilai RM759 juta, melibatkan kerjasama strategik pelaburan sektor agromakanan, potensi perdagangan, perkongsian teknologi dan konservasi ekosistem.

"Berdasarkan prestasi dan sambutan yang diterima, KPKM (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan) positif sasaran RM6 bilion nilai potensi pelaburan dan perdagangan melalui MoU dapat dicapai pada MAHA 2024," katanya.

Bagi menggalakkan pembudayaan pelaksanaan program dan projek melalui Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR), Mohamad berkata MAHA 2024 menggarapkan lima teras konsep PINTAR di sepanjang rantaian sektor agromakanan, yang bertujuan memberi pendedahan inovasi terkini dalam pelbagai bidang teknologi sekali gus menerapkan set minda PINTAR dalam kalangan usahawan tani.

Beliau turut berkongsi kejayaan terbesar KPKM dalam sektor agromakanan, iaitu mendapat kelulusan pengeksportan durian segar tempatan ke China yang dijangka memanfaatkan 63,705 pengusaha durian di seluruh negara.

"Nilai eksport durian ke China pada 2022 adalah sebanyak RM887 juta dan nilai ini dijangka akan melonjak kepada RM2 bilion pada 2030," katanya.

Pada 19 Jun, KPKM dan China telah menandatangani Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China.

Proses pengeksportan sulung durian segar ke China telah dilaksanakan pada 24 Ogos iaitu dua bulan selepas protokol berkenaan dimeterai dan untuk permulaan 40 metrik tan durian segar meliputi jenis Musang King, Black Thorn, D24 dan IOI, daripada lapan syarikat pengeksport dihantar ke China menerusi tiga fasa.

-- BERNAMA