MAHA 2022, persiapan hadapi banjir antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini
Bernama
Ogos 2, 2022 08:50 MYT
Ogos 2, 2022 08:50 MYT
KUALA LUMPUR: Persiapan penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 serta kesiapsiagaan kerajaan menghadapi banjir antara isu dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, soalan berkaitan MAHA itu akan diajukan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Pas-Tumpat) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan.
Turut tersenarai dalam sesi itu, soalan Yeo Bee Yin (PH-Bakri) yang meminta Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi menjelaskan langkah yang dilakukan kementerian bagi mengatasi cabaran industri perabot Malaysia pasca pandemik COVID-19.
Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas-Kuala Krai) pula minta Menteri Pengangkutan menyatakan status dan tindakan kementerian itu susulan penurunan taraf keselamatan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dari Kategori 1 ke Kategori 2 oleh pihak Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) pada November 2019 serta persediaan Malaysia mengekalkan kerusi Ahli Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa.
Sementara itu, pada sesi soal jawab pula Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) bertanyakan kepada Perdana Menteri berhubung kesiapsiagaan kerajaan dalam menghadapi bencana banjir menjelang musim tengkujuh tahun ini.
Dalam sesi sama, Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) minta Menteri Kanan Kerja Raya menyatakan secara terperinci bilakah Pakej WP28, WP29 dan WP30 bagi Lebuh Raya Pan Borneo Sabah akan siap selain ingin tahu mengenai penyelenggaraan jalan persekutuan utama sedia ada dari Sandakan ke Telupid.
Tamat sesi itu, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan menyambung semula sesi perbahasan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini yang bermula pada 18 Julai lepas berlangsung selama 12 hari hingga Khamis ini.
-- BERNAMA