MAHA 2022 : Inovasi Pineapple Night Farming galak petani muda bercucuk tanam

Eton Khir
Ogos 6, 2022 21:37 MYT
Mohd Khairuzamri berkata, MAHA 2022 merupakan platform terbaik untuk memperkenalkan konsep Pineapple Night Farming kepada pemain-pemain industri. - Astro AWANI
SERDANG: Bersempena dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 kali ini, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) tampil dengan keunikan tersendiri, mempromosikan daya kreativiti dalam penanaman nanas menerusi ‘Pineapple Night Farming’.
Ketua Pengarahnya, Mohd Khairuzamri M Salleh berpendapat, MAHA 2022 merupakan platform terbaik untuk memperkenalkan konsep itu kepada pemain industri terutamanya golongan muda supaya disemai minat terhadap bidang pertanian.
Jelasnya, program berkenaan merupakan salah satu usaha transformasi LPNM dalam mengoptimumkan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar.
“Ladang yang dibangunkan di MAHA 2022 pada kali ini, berintegrasikan gabungan ladang nanas dan ladang solar. Konsep ‘Pineapple Night Farming’ ini menggunakan sistem tenaga solar yang akan bertukar kepada tenaga elektrik.
“Selain menginspirasikan teknologi baharu dalam bidang pertanian ia juga dapat mendapat mengurangkan kos sara hidup kepada pemain industri. Menariknya, peralatan seperti dron dan mesin semburan kini boleh menggunakan kuasa elektrik yang dijana oleh tenaga solar.
“Pada masa yang sama, konsep ini akan menarik minat mereka yang tidak gemar bekerja di bawah panas terik, terutamanya golongan muda kerana mereka mempunyai pilihan untuk bekerja pada waktu malam. Jadi saya yakin masalah sosial seperti budaya merempit dan melepak dapat dikurangkan,” katanya kepada Astro AWANI di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Khairuzamri berkata proses kerja penanaman yang dilaksanakan pada waktu malam lebih efisien kerana faktor cuaca yang sejuk.
“Nanas merupakan sejenis tanaman nokturnal atau Crassulacean Acid Metabolism (CAM), di mana proses fotosintesis berlaku pada waktu malam. Dengan ini, ia dapat mengurangkan risiko serangan haiwan perosak dengan keberadaan pekerja pada waktu itu," katanya.
Pada masa sama, Khairuzamri berkata sepanjang pemerhatian yang dilaksanakan setakat ini, konsep ‘Pineapple Night Farming’ itu dapat memendekkan proses kematangan nanas.
“Ini kerana, jika sebelum ini ia memakan masa selama 14 bulan, kini dapat dikurangkan sehingga tiga bulan menjadikan tempoh tanam nanas sehingga penuaian hanya mengambil masa 10 hingga 12 bulan sahaja” katanya.
Sementara itu, Khairuzamri berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana mereka tidak akan lepas tangan, sebaliknya akan membantu dan menyokong para penggiat industri untuk memasarkan produk mereka.
“Fungsi LPNM ini merangkumi semua aspek secara keseluruhan bermula dari penanaman sehinggalah produk itu dipasarkan. Selain itu, pihak kami juga ada menawarkan insentif-insentif tertentu bagi membantu mereka memasarkan hasil produk mereka di pasaran kelak.
“Kami tidak akan membiarkan mereka tanpa bimbingan namun akan membantu sebaik mungkin dalam meneruskan perniagaan mereka,” katanya lagi.
Niaga AWANI: MAHA 2022 | Inovasi produk Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia
#MAHA 2022 #Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia LPNM #Pineapple Night Farming #tenaga solar
;