MAHA 2022 berlangsung esok, tawar 22 segmen menarik secara fizikal dan hibrid

Ehsan A Marisah
Ogos 3, 2022 17:54 MYT
MAHA 2022 yang berlangsung selama 11 hari bermula esok akan menawarkan 22 segmen menarik melibatkan program secara fizikal dan hibrid. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) 2022 yang berlangsung selama 11 hari bermula esok akan menawarkan 22 segmen menarik melibatkan program secara fizikal dan hibrid.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, penganjuran kali ini turut melibatkan segmen di dalam dan luar dewan.
“Di luar dewan akan melibatkan laman-laman seperti Laman Padi, Laman Floriculture, Laman Nanas, Laman Agro Food, Laman Ternakan, Laman Perikanan, Laman Jentera, Laman Buah-Buahan, dan kendera saji (food truck).
“Kita juga ada pengisisan di dalam dewan seperti Agro Tech, Agro Lifestyle, Agro Tourism, Agro Youth yang menyaksikan mereka (belia) sebagai agen transformasi kepada sekuriti makanan, Agro Edutainment, dan Agro Job Fair,” katanya dalam program AWANI Pagi pada Rabu.
AWANI Pagi: Apakah tarikan sebenar di MAHA 2022 fasa endemik ini?
Mengulas lanjut, Haslina menambah, respons dan sambutan yang diterima daripada pemain industri serta pempamer juga amat luar biasa.
“Sambutan sangat luar biasa sebenarnya, permintaan ramai daripada usahawan agro muda dan usahawan tani sebanyak 1,500 gerai dibuka kali ini.
“Bagi usahawan atau pempamer yang tidak berkesempatan secara fizikal, kita adakan juga secara virtual (maya). Selain itu, kita juga ada padanan perniagaan selain sebanyak 17 memorandum persefahaman (MoU) akan ditandatangani sepanjang MAHA 2022 melibatkan syarikat dan individu,” ujarnya.
Di samping itu, katanya, MAHA 2022 turut berusaha untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan melibatkan pertanian dan mempromosinya kepada generasi muda.
“MAHA 2022 juga ada Agro Food Job Fair iaitu platform kepada belia-belia yang ingin mencari pekerjaan sekali gus mempromosikan potensi pekerjaan dalam bidang pertaniaan. Sasaran kita adalah menyediakan 5,000 pekerjaan hasil kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan 1,000 syarikat.
“Alhamdulillah kini sudah ada 15,000 tawaran kerja, belia boleh mendaftar dalam talian terlebih dahulu, isi profil dan setibanya di MAHA menjalani temuduga dengan syarikat berdasarkan pencapaian akademik dan latar belakang pendidikan mereka,” katanya.
Tambahnya, bertepatan dengan tema MAHA 2022, iaitu ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan' itu, pihaknya turut menggalakkan usahawan mengadaptasi pertanian pintar agar dapat meningkatkan produktiviti makanan pada masa hadapan.
Justeru, usahawan boleh menggunakan pelbagai instrumen kewangan bagi mendapatkan pembiayaan dan salah satunya adalah menerusi institusi kewangan, Agrobank.
“Institusi kewangan Agrobank misalnya akan menyediakan pembiayaan bagi membolehkan golongan usahawan mendapatkan peralatan terkini. Jadi jemputlah datang ke MAHA 2022 beramai-ramai mulai esok,” ujarnya lagi.
#MAHA 2022 #Pameran Pertanian #Haslina Abdul Hamid #usahawan
;