MAHA 2016 catat lebih 2.5 juta pengunjung pada hari kesembilan

Bernama
Disember 9, 2016 15:29 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan durian belanda pada perasmian MAHA - foto BERNAMA
Masuk hari kesembilan Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 merekodkan 2.5 juta pengunjung berdasarkan kiraan di empat pintu masuk utama Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini.
Seorang petani, Adzmi Husin, 62, dari Naka, Kedah dinobatkan sebagai pengunjung bertuah ke 2.5 juta, sekali gus memenangi hadiah gergaji berantai dan mesin pemotong rumput.
Anggota rombongan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kedah ke MAHA 2016 itu tidak menyangka menerima hadiah berkenaan, yang katanya, boleh digunakan di kebun getah dan sawah padi miliknya, masing-masing seluas 1.2 hektar dan 0.8 hektar.
"Saya terkejut semasa berjalan dari bas, ada petugas panggil saya dan beritahu saya akan dapat hadiah ini, kerana saya datang hanya untuk menambah pengetahuan dan pengalaman dalam bidang pertanian," katanya.
Hadiah itu disampaikan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di Laman Armada Jentera MAHA 2016.
Sementara itu, Pengarah Sekretariat MAHA Azman Mohd Saad berkata pihaknya menggunakan kaedah kiraan pengunjung secara manual oleh para petugas MAHA yang ditempatkan di empat pintu masuk rasmi ke MAHA 2016.
"Jumlah itu pun tidak mengambil kira pengunjung yang masuk mengikut pagar yang bolos dan sebagainya. Jadi sebenarnya jumlah pengunjung lebih daripada apa yang kami kira," jelasnya.
Beliau berkata jumlah terkini pengunjung MAHA 2016 setakat 12.30 tengah hari tadi dianggarkan mencecah 2.7 juta orang dan beliau optimis jumlah yang hadir pada tahun ini mampu memecahkan rekod 3.5 juta orang pada hari terakhir 11 Dis. - BERNAMA
#ekspo pertanian #Maeps #MAHA #menteri asas tani
;