MAHA 2016: Catat jualan, perjanjian jualan lebih RM380 juta, pengunjung 3.7 juta
Bernama
Disember 12, 2016 09:01 MYT
Disember 12, 2016 09:01 MYT
Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 mencapai jualan dan perjanjian jualan melebihi RM380 juta dan mencatat kehadiran 3.7 juta pengunjung.
Sekretariat MAHA dalam kenyataan berkata sasaran jualan dan perjanjian jualan itu melepasi sasaran penganjur sebanyak RM200 juta berbanding RM152 juta jualan pada 2014.
Menyifatkan MAHA pada kali ini adalah terbesar dan paling kreatif dalam sejarah penganjurannya, kenyataan itu turut menyebut acara berkenaan kali ini mampu menarik penyertaan daripada golongan muda.
"Ia mencipta satu trend baharu berbeza berbanding dengan MAHA sebelum ini yang sentiasa dianggap sebagai acara untuk orang kampung dan berkaitan dengan genarasi lebih tua," katanya.
Terdahulu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada sidang media pada Ahad menyebut ia merupakan petanda baik kerana selari dengan matlamat kerajaan untuk mendapatkan penyertaan lebih 40 peratus golongan belia dalam sektor pertanian.
Program baharu berkonsepkan agrotainment seperti 'Rhythm of the Farmers' dimasukkan dalam MAHA kali ini untuk menarik minat ke arah pertanian melalui hiburan, mendorong pengunjung ke kawasan pameran tahun ini terutamanya daripada golongan belia, katanya.
Selain daripada penyertaan golongan belia, MAHA 2016 turut melibatkan golongan peniaga profesional dalam sektor pertanian dan orang awam dan menyediakan keperluan anak-anak seperti Upin & Ipin di Kampung Durian Runtuh, maskot transformer dan kereta kuda.
Selain persembahan beberapa artis terkenal, antara tarikan di MAHA2016 termasuk persembahan produk dan pelancaran, teknologi dan inovasi pertanian, bazar agro, persembahan kebudayaan, masakan tradisional dan pertandingan memancing.
MAHA 2016 bertema 'Makanan Kita, Masa Depan Kita' yang bermula sejak 1 Dis lalu di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), melabuhkan tirainya hari ini.
Ekspo pertanian dan makanan terbesar dan paling lama di rantau ini dijangka akan kembali pada 2018. -- Bernama
#Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia
#MAHA 2016
#Pameran Antarabangsa Pertanian
#Shabery Cheek