Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah dan Perlis bersedia untuk menerima kehadiran pelancong dalam dan luar negara dalam merancakkan lagi sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat COVID-19.

Pengerusinya, Eugene Dass berkata, semua persiapan termasuk mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dan normal baharu pelancongan juga telah dilaksanakan membabitkan operasi hotel.

Katanya, usaha mempromosi juga giat dijalankan termasuk menyediakan pakej menarik untuk ditawarkan kepada orang ramai.

"Perkara ini telahpun dibincang secara bersama dengan pihak berkaitan termasuk pengusaha hotel khususnya melibatkan SOP yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum memulakan operasi.

"SOP ini juga telah diedar di semua hotel di bawah MAH dan berdasarkan kajian mendapati, sebanyak 35 peratus persiapan telah dilakukan melibatkan peringkat latihan dan amalan normal baharu seperti penjarakan sosial dan sebagainya," katanya menerusi program Buletin AWANI di sini pada Isnin.



Susulan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu, sektor pelancongan antara yang terkesan teruk sehingga mengakibatan pembuangan pekerja dan pemberhentian operasi membabitkan industri perhotelan.

Mengulas lanjut, Eugene berkata, MAH komited membuat rundingan dengan pihak berkepentingan termasuk syarikat penerbangan tempatan untuk menawarkan harga yang munasabah kepada orang ramai.

"Tidak dinafikan kos operasi akan meningkat selepas hampir tiga bulan tidak beroperasi selain terpaksa patuh kepada SOP baharu, namun kami akan berusaha untuk melakukan perbincangan dengan beberapa pihak untuk mengenalpasti kaedah terbaik menawarkan harga seperti potongan harga kepada pengunjung," katanya.