MaGIC nafi pengaturan quid-pro-quo dengan Uber

Bernama
September 22, 2017 19:13 MYT
Firma undang-undang Uber dilaporkan sedang menyiasat derma korporat bernilai "berpuluh ribu dolar" yang dibuat Uber pada Ogos 2016 kepada MaGIC. - Gambar fail
Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) hari ini menafikan penglibatannya dalam sebarang pengaturan quid-pro-quo, kata Ketua Pegawai Eksekutif Ashran Ghazi.
"Awal minggu ini, kami terkejut mendapati kami dinamakan dalam artikel yang memberi dakwaan serius pada cara Uber beroperasi di rantau ini," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata agensi itu sering bekerjasama dengan syarikat korporat, yang menghubungkan mereka dengan bakat keusahawanan terkemuka Malaysia untuk membantu membina ekosistem keusahawanan yang berkembang maju.
Ashran menegaskan kerjasama strategik ini telah membantu memberi inspirasi dan membimbing usahawan muda pada peringkat penjanaan idea.
Sebuah agensi berita antarabangsa melaporkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat sedang menyiasat Uber untuk menentukan sama ada ia melanggar undang-undang berhubung rasuah di luar negara.
Laporan tersebut menyatakan sehubungan itu, firma undang-undang Uber sedang menyiasat derma korporat bernilai "berpuluh ribu dolar" yang dibuat Uber pada Ogos 2016 kepada MaGIC.
Dakwaan rasuah itu berkaitan dengan ASEAN Next Great Idea (ANGI) MaGIC yang dianjurkan secara bersama oleh MaGIC, Uber dan rakan kongsi korporat lain yang dilancarkan pada Ogos 2016.
Dalam kerjasama itu, MaGIC menyelaraskan kandungan, modul yang dirancang dan memasarkan program untuk mendapatkan peserta ASEAN manakala Uber bertanggungjawab bagi makmal pembentukan idea dan rakan kongsi korporat ketiga menyediakan strategi permulaan.
"Sama seperti kerjasama kami yang lain dengan syarikat korporat, ANGI tertakluk kepada kawalan yang ketat dan prosedur yang sesuai.
"Kami mendukung standard integriti yang tertinggi dalam semua program kami dan cara kami menjalankan operasi kami," katanya.
-- BERNAMA
#ANGI #ASEAN Next Great Idea #Ashran Ghazi #derma korporat #Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat #MaGIC #pengaturan #Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia #quid-pro-quo #Rasuah #Siasat
;