'Magic mushroom' sah ganja sintetik - AADK
Sinar Harian
Januari 14, 2025 15:15 MYT
Januari 14, 2025 15:15 MYT
KAJANG: Dadah 'magic mushroom' yang menggemparkan masyarakat sebelum ini disahkan sebagai ganja sintetik diproses dalam bentuk cecair bagi digunakan menerusi rokok elektronik atau vape.
Ringkasan AI
- Dadah 'magic mushroom' yang menggemparkan masyarakat sebelum ini disahkan sebagai ganja sintetik diproses dalam bentuk cecair bagi digunakan menerusi rokok elektronik atau vape.
- AADK telah membuat 50 kajian kes melibatkan kumpulan penagih yang mendakwa menggunakan 'magic mushroom' dan mendapati ia sebenarnya adalah dadah sintetik.
- Dengan pindaan akta yang dilaksanakan, AADK mempunyai ruang lebih besar untuk menangani isu penagihan dadah.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, bahan terkait dengan pembuatan 'magic mushroom' adalah melibatkan cecair diproses daripada ganja dan banyak disalah guna melalui vape.
Beliau berkata, pihaknya telah membuat 50 kajian kes melibatkan kumpulan penagih yang mendakwa menggunakan 'magic mushroom' pada tahun lalu.
"Daripada data yang kita dapat dan hasil ujian diperoleh daripada Jabatan Kimia, ia sebenarnya bukan 'magic mushroom' sebaliknya adalah ganja sintetik dimasukkan dan digabungkan dalam vape.
"Magic mushroom di luar sana adalah satu terminologi yang dipakai secara meluas, tetapi apa yang kita peroleh daripada ujian dijalankan adalah dadah sintetik sebenarnya," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.
Beliau berkata demikian dalam majlis Amanat Ketua Pengarah dan Perhimpunan bulanan AADK 2025 di ibu pejabat AADK, di sini.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Khairul Anwar Bachok.
Ruslin berkata, ancaman dadah sintetik semakin meningkat pada masa ini dan pelbagai dadah jenis baharu dihasilkan.
Kata beliau, dadah sintetik baharu semakin popular dan digemari anak muda terutama digunakan semasa berparti.
Sehubungan itu menurutnya, dengan berlakunya banyak pindaan akta dilaksanakan, ia memberi ruang lebih besar kepada AADK menangani isu penagihan dadah terutama kuasa Menteri Dalam Negeri sendiri untuk menyenaraikan bahan-bahan dadah.
Dalam masa yang sama, katanya, proses rawatan di peringkat AADK masih boleh diperluaskan lagi.
"Kalau sebelum ini kita tengok macam penagihan gam dan ketum, kita tidak boleh buat pemulihan.
"Tetapi di bawah pindaan akta dan dikuatkuasakan nanti, mereka yang menagih ketum juga boleh ditempatkan di pusat pemulihan," ujarnya. -Sinar Harian