MAGGI Wanita Cukup Berani: Platform bantu wanita kembangkan potensi perniagaan
Fahmi Izuddin
Disember 29, 2023 10:30 MYT
Disember 29, 2023 10:30 MYT
KUALA LUMPUR: Program MAGGI Wanita Cukup Berani anjuran MAGGI menjadi platform untuk membantu golongan wanita mengembangkan potensi perniagaan secara menyeluruh.
Menurut Mentor Keusahawanan Program Mentor Wanita Cukup Berani MAGGI sejak 2020, Anne Idris, visi program ini cukup jelas untuk membantu golongan itu merubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik.
"Dalam program ini, kita hendak menekankan bahawa, wanita-wanita yang berani, masuk program ini untuk merubah kehidupan mereka.
"Cuma, kena ada tindakan. Ia kena bermula dengan keberanian.
"Setakat program ini dijalankan, kita telah membimbing lebih kurang 3,500 orang wanita," katanya ketika ditemu bual dalam program AWANI Pagi pada Khamis.
Tambahnya, program tersebut hadir dengan pelbagai pengisian dan perkongsian ilmu termasuk cara dan pendekatan pemasaran perniagaan secara digital.
Sementara itu, Juara Program Mentor Wanita Cukup Berani MAGGI Musim pertama (2021), Nur Hidayah Jeffri menyifatkan penglibatannya dalam program itu banyak membantunya dalam pengurusan kewangan dan perniagaan.
"Apabila menyertai Program MAGGI Wanita Cukup Berani ini, saya tengok kepada tujuan saya.
"Anne adalah antara mentor saya, iaitu Ikon Usahawan Muda. Jadi, saya gunakan peluang yang ada ini untuk belajar dengan beliau.
"Dengan adanya mentor, saya dapat belajar 'A to Z' macam mana nak membelanjakan duit itu," katanya.
Nur Hidayah berkata, program tersebut telah mengubah hidupnya apabila keuntungan perniagaan yang diraih hasil daripada pengetahuan yang digarap menerusi program itu kini mencecah puluhan angka sebulan.
MAGGI Wanita Cukup Berani 2023 merupakan edisi ketiga sejak pertama kali dianjurkan pada tahun 2020.
Konotasi program tertumpu kepada memperkasakan wanita dan pemilik perniagaan kecil melalui Program Mentor Wanita Cukup Berani MAGGI dengan penganjuran Edisi Ketiga kerjasama bersama tiga syarikat gergasi teknologi dunia iaitu Google, Meta, dan TikTok.