MAG tunggu kelulusan VTL Singapura, Pulau Pinang
Bernama
Disember 21, 2021 05:15 MYT
Disember 21, 2021 05:15 MYT
GEORGE TOWN: Malaysia Aviation Group (MAG) masih menunggu kelulusan dari Singapura dan kerajaan Malaysia berhubung permohonan program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara di antara republik itu dengan Pulau Pinang yang telah pun dikemukakan beberapa bulan lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG) Kapten Izham Ismail berkata pihaknya berharap agar cadangan laluan VTL udara itu dapat dilaksanakan secepat mungkin supaya dapat merancakkan kembali sektor ekonomi khususnya pelancongan yang terjejas berikutan pandemik COVID-19 selain menyifatkan kejayaan pelaksanaan VTL udara sebelum ini di beberapa lokasi wajar diambil kira sebagai indikator untuk pelaksanaan VTL udara bagi kedua-dua destinasi tersebut.
"Kejayaan pelaksanaan VTL udara sebelum ini patut dijadikan kayu ukur untuk pelaksanaan permohonan cadangan VTL udara bagi menghubungkan Pulau Pinang dan Singapura ini, namun, keputusan mengenai pelaksanaannya masih belum diputuskan.
"Kena tunggu (keputusan) Khairy Jamaluddin (Menteri Kesihatan) dengan Singapura," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran kerjasama antara Travel Safe Alliance (TSA) Malaysia serta Pejabat Pengerusi Pelancongan dan Ekonomi Kreatif di sini pada Selasa.
Sementara itu, sebagai syarikat penerbangan nasional, pihaknya akan meneruskan perkhidmatan terbaik dalam menyediakan pengalaman perjalanan yang lancar, selamat dan bersih untuk pengembara yang disokong oleh syarikat penerbangan Firefly dan MASwings.
"Ini berdasarkan penarafan tujuh bintang kami untuk langkah kesihatan serta keselamatan COVID-19 oleh Airlines Ratings berdasarkan inisiatif dan prosedur keselamatan yang ketat bagi menjamin keselamatan penumpang sepanjang menggunakan perkhidmatan kami," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Yeoh Soon Hin berkata pihaknya komited dalam memastikan sektor pelancongan Pulau Pinang kembali pulih dengan menyediakan penyelesaian perjalanan selamat secara menyeluruh kepada pengembara menerusi Program Akreditasi Keselamatan COVID-19 yang dilancarkan pada Selasa.
"Saya harap Program Akreditasi Keselamatan COVID-19 edisi Pulau Pinang dan TSA Malaysia akan membolehkan pengunjung untuk menikmati waktu percutian dengan tenang dan mengetahui bahawa keselamatan mereka terjamin kerana protokol kebersihan dilaksanakan dengan baik," katanya sambil mensasarkan bilangan pelancong yang akan berkunjung ke negeri itu seramai 30,000 orang bagi permulaan tahun depan.
Pada 8 November, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong mengumumkan Malaysia dan Singapura akan melancarkan VTL antara Lapangan Terbang Changi serta KLIA pada 29 November.
-- BERNAMA