MAG tawar lebih 18,000 tempat duduk tambahan sempena Aidilfitri
Bernama
April 6, 2023 15:00 MYT
April 6, 2023 15:00 MYT
KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan di bawah Malaysia Aviation Group (MAG) seperti Malaysia Airlines, Firefly dan MASwings akan menawarkan lebih daripada 18,000 tempat duduk tambahan bagi tempoh kemuncak perjalanan sempena Aidilfitri yang dijangkakan pada 18 April hingga 1 Mei, 2023.
Dalam kenyataannya, MAG berkata selain dapat menampung permintaan tinggi, ini juga sebagai tambahan kepada 20,000 tempat duduk yang dilancarkan pada 29 Mac, 2023 dan kini hampir habis dijual.
Menurutnya, syarikat penerbangan tersebut akan menggunakan pesawat jenis Airbus 330 bagi beberapa laluan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
"Menerusi tempat duduk tambahan ini, tambang tersebut secara dinamiknya akan diselaras menurun agar lebih berpatutan untuk membolehkan penumpang pulang beraya ke kampung masing-masing," katanya.
MAG berkata, syarikat penerbangan sekutu Malaysia Airlines, Firefly turut bertindak meningkatkan kekerapan penerbangan ke Kota Bharu dan Kota Kinabalu.
Sejajar dengan peningkatan permintaan ketika musim cuti perayaan, kalangan penumpang juga digalakkan untuk merancang awal perjalanan masing-masing bagi menikmati tawaran penerbangan yang menarik, kata Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan MAG Ahmad Luqman Mohd Azmi.
"Setakat Februari 2023, kapasiti jangkauan kami mencecah 85 peratus daripada angka 2019 dan kami juga menjangkakan peningkatan positif, terutama dengan kedatangan musim perayaan dan cuti sekolah.
"Sehubungan itu, kami menggalakkan orang ramai untuk memanfaatkan kapasiti tambahan ini dan menikmati pengalaman bertemu semula dengan insan tersayang. Ini juga sejajar dengan komitmen kami dalam menyokong kerajaan bagi kemudahan perjalanan untuk rakyat," katanya.
Maklumat lanjut berkaitan tempahan penerbangan, perancangan cuti yang sempurna dan aktiviti menarik, boleh diperoleh di laman sesawang rasmi Malaysia Airlines, Firefly serta MASwings.
-- BERNAMA