KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd, anak syarikat penerbangan di bawah Malaysia Aviation Group (MAG), telah mengurangkan sementara kekerapan penerbangan untuk 13 destinasi antarabangsa dalam rangkaian laluannya.

Menurut AeroRoutes, destinasi tersebut termasuk Bangkok-Suvarnabhumi, Denpasar, Ho Chi Minh, Jakarta, Jeddah, Medan Kualanamu, Mumbai, Osaka Kansai, Seoul Incheon, Shanghai Pu Dong, Singapura, Tokyo-Narita, dan Yangon dari Kuala Lumpur.

Kekerapan penerbangan ke Bangkok-Suvarnabhumi dikurangkan dari 42 ke 37 kali seminggu, Denpasar dari 22 ke 18 kali; Ho Chi Minh dari 20 ke 19 kali, Jakarta dari 42 ke 40 kali, Jeddah dari sembilan ke tujuh kali, Medan Kualanamu dari 15 ke 12 kali, dan Mumbai dari 10 penerbangan dikurangkan kepada sembilan penerbangan seminggu.

Manakala, penerbangan ke Osaka dikurangkan dari tujuh ke enam kali seminggu; Seoul Incheon (13 ke lapan kali seminggu); Shanghai Pu Dong (10 ke sembilan kali seminggu), Singapura (68 ke 66 kali seminggu); Tokyo-Narita (12 ke 10 kali seminggu), dan Yangon dikurangkan dari enam ke empat kali setiap minggu.

Menurut AeroRoutes, yang menerbitkan senarai destinasi terjejas oleh pengurangan kekerapan penerbangan, perubahan perkhidmatan antarabangsa ini berlaku untuk minggu 25 hingga 31 Ogos.

Minggu lalu, MAG mengumumkan bahawa ia akan mengurangkan kekerapan penerbangan ke beberapa destinasi secara sementara antara minggu lalu hingga Disember 2024 untuk menangani isu operasi yang melibatkan tiga syarikat penerbangannya - Malaysia Airlines, FlyFirefly Sdn Bhd (Firefly), dan Amal.