MAG kurangkan kapasiti, komited pastikan kestabilan operasi

Kenyataan Media
Ogos 30, 2024 19:40 MYT
MAG komited sepenuhnya untuk memastikan operasi yang selamat dan boleh dipercayai serta kekal teguh dalam menumpukan usaha terhadap menstabilkan operasi.
KUALA LUMPUR: Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) komited sepenuhnya untuk memastikan operasi yang selamat dan boleh dipercayai serta kekal teguh dalam menumpukan usaha kami terhadap menstabilkan operasi kami.
Menjelang arahan baharu Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), MAG mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan kapasiti dengan matlamat memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan operasi.
Walau ia merupakan satu keputusan yang sukar, fokus kami adalah untuk mengutamakan pelanggan, memastikan kami dapat memenuhi jadual penerbangan yang kredibel dan memastikan pengalaman terbaik buat pelanggan menuju ke hadapan.
Pengurangan rangkaian melibatkan 20 peratus kapasiti kami, merangkumi Malaysia Airlines, Firefly dan laluan Amal di dalam penerbangan domestik Malaysia, ASEAN, Asia Utara, Australia, New Zealand, China, Asia Selatan dan Timur Tengah.
Ketika perjalanan udara kembali normal dengan syarikat-syarikat penerbangan seluruh dunia memulihkan kapasiti ke dalam pasaran, kami sedang menguruskan jadual kami secara proaktif untuk menangani cabaran pasca-pandemik termasuk gangguan rantaian bekalan.
Kami membuat keputusan tersebut untuk secara cermat memulihkan kapasiti kami, mengambil kira kecepatan sokongan rantaian bekalan.
Ini juga disumbangkan oleh kekurangan di peringkat global ekoran kekurangan sumber yang menyebabkan kendala dalam penghasilan alat ganti oleh pembuat pesawat dan alat ganti (OEM).
Ini membawa kepada tempoh pusing ganti yang lebih panjang untuk baik pulih enjin, termasuk untuk pesawat-pesawat MAG, yang bergantung kepada rakan kongsi luar untuk perkhidmatan ini, menyebabkan kekurangan enjin untuk operasi kami.
Begitu pun cabarannya, MAG mengekalkan kualiti kerja-kerja penyelenggaraannya dalaman dan luaran, malah dengan kos dan impak kewangan tinggi yang berkaitan.
Pada masa sama, kami bekerja rapat dengan para pemegang taruh, termasuk regulator dan OEM, untuk secara cekapnya menangani cabaran operasi dan memastikan penyampaian alat-alat ganti tepat pada masanya - merangkumi alat ganti yang mencukupi dan berkualiti tinggi serta program penyelenggaraan pesawat yang mantap.
Tambahan kepada itu, kekurangan global untuk alat ganti telah mengesankan penyampaian pesanan pesawat baharu kami yang telah diatur, yang secara langsung, memberi kesan kepada perancangan armada kami.
Menjelang 2024, MAG dijadual untuk menerima 17 pesawat baharu sebagai sebahagian daripada program modenisasi armada kami dan menyokong keperluan pertumbuhan kami.
Namun, setakat ini, MAG hanya menerima empat (4) pesawat Boeing 737-8 daripada 13 yang dipersetujui secara kontrak menjelang 2024.
Untuk A330neo, MAG dijadual untuk menerima empat (4) pesawat tetapi kini dijangka untuk menerima tiga (3) menjelang akhir tahun ini sebagaimana dijanjikan Airbus.
MAG mengalami pergeseran tenaga kerja mahir sebagai pemain baharu MRO, secara tempatan dan antarabangsa, memasuki pasaran Malaysia.
Untuk menangani hal ini, kami bekerjasama dengan rakan kongsi untuk meningkatkan tenaga kerja kami serta menambah tenaga kerja kejuruteraan mahir, dan kami telah menambahbaik pakej imbuhan untuk mengekalkan saluran bakat yang kuat untuk MAG.
Kami memohon maaf dan memahami kekecewaan yang ditanggung pelanggan kami, dan berharap dapat memberi jaminan bahawa pasukan kami bekerja dengan tekun untuk menyediakan pelanggan terkesan dengan pilihan pampasan yang ada, merangkumi penetapan semula penerbangan, serta bayaran balik penuh tanpa sebarang caj penalti.
Ekoran peningkatan trafik yang kami alami di Pusat Hubungan Global kami, kami menyarankan penumpang untuk menggunakan ciri ‘My Booking’ pada laman web kami untuk perkhidmatan yang lebih pantas dan memeriksa status penerbangan mereka.
Ingin kami ulangi bahawa langkah-langkah ini, walaupun sukar, adalah perlu untuk memastikan operasi yang selamat dan boleh dipercayai menuju ke hadapan.
Terima kasih kepada pelanggan kami kerana memahami dan bersabar ketika kami menyelesaikan isu-isu yang disebutkan.
#Kumpulan Penerbangan Malaysia #Malaysia Aviation Group #MAG #CAAM
;